KUALA LUMPUR – Kelicikan seorang pemandu kereta Mercedes-Benz A-Class mengelak sebanyak 45 kali membayar tol ketika melalui lebuh raya milik Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) akhirnya ‘kantoi’ apabila ditahan.
Pemandu wanita terbabit dikesan mempunyai bayaran tol tertunggak sebanyak RM275.65.
“Kereta mewah 45 kali culas tol, ditahan. Dah 2023 perangai masih tak berubah. Lagi pengguna culas bayar tol ditahan.
“Cuba teka, kali ni kereta apa pulak yang kantoi? Amboi berani betul sister (wanita) ini,” kata pengendali media sosial syarikat konsesi itu menerusi beberapa ciapan di Twitter.
Menurut Prolintas, wanita itu bagaimanapun menyelesaikan semua tunggakan berkenaan serta-merta.
Justeru, semua pemandu diingatkan supaya tidak meniru aksi tidak bermoral itu kerana ia bukan sahaja dianggap menceroboh, malah membahayakan kenderaan lain.