PUTRAJAYA – Malaysia menerima kuota haji seramai 31,600 jemaah daripada Kerajaan Arab Saudi pada tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar, berkata kelulusan itu diberikan Menteri Haji dan Umrah, Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabia ketika beliau menghadiri mesyuarat bersempena Persidangan Perkhidmatan Haji dan Umrah 2023 yang dianjurkan Kerajaan Arab Saudi, semalam.
Menurutnya, mesyuarat khas itu berlangsung dengan penuh mahabbah (taqwa, keadilan, kejujuran, amanah dan bertanggungjawab) khususnya bagi membincangkan aspek persiapan musim haji tahun ini.
Katanya, pada mesyuarat itu Dr Tawfiq Fawzan juga memuji Malaysia khususnya Lembaga Tabung Haji (TH) atas pengendalian haji yang baik, sistematik dan tahap layanan jemaah haji yang perlu dijadikan contoh kepada pihak lain.
“Saya menegaskan, TH akan sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada bakal jemaah haji Malaysia dan akan mematuhi ketetapan diadakanKerajaan Arab Saudi,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Tawfiq Fawzan berkata, ibadah haji tahun ini juga akan berlangsung tanpa ada sekatan umur dan kembali seperti sedia kala sepertimana sebelum pandemik.
Berita gembira itu, katanya bakal membolehkan dua juta umat Islam dari luar Arab Saudi dan kira-kira 200,000 umat Islam domestik menunaikan ibadah haji dengan mudah dan senang.