LEANDRO Trossard bersetuju mengikat kontrak jangka panjang selepas pemain Belgium itu menyertai Arsenal dengan nilai dilaporkan sebanyak £27 juta (RM143.33 juta) hari ini.
Trossard dari Brighton dilihat mampu menguatkan serangan dalam usaha Arsenal mencari gelaran pertama liga sejak 2004 dan dia dijangka dapat beraksi menentang Manchester United di Stadium Emirates awal pagi esok.
Ditanya mengenai rekod Trossard yang sudah terbukti dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), Arteta memberitahu wartawan: “Ia penting. Kami mesti memikirkan mengenai jangka pendek, selain jangka masa sederhana dan panjang. Dia memberikan semua itu. Dia pemain yang sangat pintar.
“Apabila anda melihat apa yang sudah dilakukannya dalam beberapa tahun ini, dia adalah pemain yang serasi dengan gaya permainan kami. Kami gembira memilikinya.
“Dia tahu liga ini, dia cukup pengalaman di sini dan saya rasa dia boleh mendatangkan impak segera terhadap pasukan.”
Arsenal mendapatkan Trossard, 28, selepas gagal menandatangani pemain sayap Ukraine, Mykhailo Mudryk yang dibeli pencabar dari London, Chelsea minggu lalu.
Trossard bermain di bawah kendalian penolong jurulatih Arsenal, Albert Stuivenberg di Genk dan Arteta berkata dia sudah bercakap dengan pengendalian Belanda itu yang memberikan rujukan bagus.
Trossard, yang bermain buat Belgium pada Piala Dunia lalu, menjaringkan tujuh gol dalam 16 aksi EPL buat Brighton musim ini termasuk hatrik ketika menentang Liverpool pada Oktober.
Josy Comhair (ejen Leandro Trossard) berkata: “Saya sendiri menawarkan Leo kepada Arsenal.
“Ia adalah sebuah kelab bola sepak yang bagus untuknya dan mereka bermain bola sepak yang sesuai dgn cara permainannya.
“Perjanjian ini mengambil masa 48 jam menunjukkan betapa Arsenal mahukannya.”
Sementara itu, pemain pertahanan Poland, Jakub Kiwior dikatakan akan menyertai Arsenal dengan yuran berjumlah £20 juta dari Spezia.
Pemain berusia 22 tahun itu dilaporkan akan menandatangani kontrak selama lima tahun setengah. – Agensi