JOHOR BAHRU – Kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 11 di Rumah Pangsa Larkin di Jalan Garuda di sini malam tadi.
Difahamkan, dalam kejadian jam 7.30 malam itu, mangsa bersama beberapa kanak-kanak dipercayai bermain di aras 11 bangunan 15 tingkat itu sebelum terjatuh dan tersangkut pada bumbung kedai.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, berkata kanak-kanak berkenaan menghembus nafas terakhir ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA).
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.
Dalam pada itu, jenazah kanak-kanak lelaki selamat dikebumi pada jam 6.20 petang tadi.
Jenazah Muhammad Izzuddin Abdul Hadi dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Mount Austin serta diiringi kira-kira 30 ahli keluarga dan kenalan keluarga arwah.
Suasana sayu diiringi hujan renyai menyelubungi kawasan tanah perkuburan terbabit semasa jenazah dikebumikan.
Sebelum itu, solat jenazah disempurnakan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) selepas dikafankan.
Bagaimanapun keluarga mangsa enggan ditemubual kerana masih terkejut dengan insiden yang berlaku itu.