PUTRAJAYA – Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 bakal dijenamakan semula sebagai KLIA Terminal 1 dan KLIA Terminal 2.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, penjenamaan semula itu dilihat bakal memperkukuhkan persaingan dengan lapangan terbang antarabangsa serantau.
“Pelaksanaan itu dijangka dapat membantu meningkatkan daya saing global perkhidmatan pengangkutan udara negara serta memulihkan semula sektor penerbangan demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat berlandaskan gagasan Malaysia Madani,” katanya di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Anthony berkata, kerangka perjanjian operasi (OA) baharu antara kerajaan dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bakal mengubah landskap industri penerbangan negara.
Katanya, ia akan membantu syarikat penerbangan untuk beroperasi dengan lebih efisyen sekali gus mengurangkan bebanan pengguna melalui pengurangan harga tiket.
“Keputusan Kabinet pada 2 Februari lalu bersetuju secara prinsip dengan syarat baharu perjanjian berkenaan memberikan konsesi kepada MAHB untuk mengoperasi, mengurus, menyelenggara dan membangun 39 buah lapangan terbang serta padang terbang sehingga tahun 2069.
“Perjanjian itu bakal dimuktamadkan dan ditandatangani selewat-lewatnya sebelum akhir suku pertama tahun ini,” jelasnya.
Katanya, syarat-syarat baharu di bawah OA 2023 ini membolehkan kerajaan dan MAHB melaksanakan pelan pembangunan komersial lebih berdaya saing dan berpotensi meningkatkan pendapatan kerajaan melalui perkongsian hasil ke atas tanah milik kerajaan yang dibangunkan MAHB.