KUALA TERENGGANU – Bekas jurulatih menembak Majlis Sukan Negeri (MSN) Terengganu diperintah oleh Mahkamah Sesyen di sini membela diri atas pertuduhan menyebabkan kematian dengan niat terhadap seorang lelaki, 13 tahun lalu.
Hakim Mahkamah Sesyen Nooriah Osman membuat keputusan itu selepas berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap pertuduhan berkenaan ke atas Zamil Ahmad Murad, 62.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan niat menyebabkan kematian Syed Haikar Iskandar Syed Mahdzar, 34, di kawasan semak di belakang sebuah rumah di Gong Badak, Kuala Nerus, antara jam 4.15 petang hingga 4.30 petang pada 1 Februari 2010.
Bagi kesalahan itu, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 11 dan 12 Jun depan sebagai tarikh bicara kes di peringkat pembelaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Engku Ahmad Rashdi Engku Abdillah, Intan Nor Hilwani Mat Rifin dan Hanis Nabihah Hizamul-Din.
Sementara tertuduh diwakili peguam, Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah, Rahmat Mohamed Hazlan dan Wan Mohammad Arfan Wan Othman.
Dalam kejadian 1 Februari 2010, seorang lelaki ditembak mati selepas cuba memecah masuk ke rumah jurulatih menembak MSN itu melalui pintu belakang.
Jurulatih terbabit yang ketika itu berada di pusat latihan menembak, pulang ke rumahnya selepas dihubungi isterinya yang memaklumkan ternampak kelibat lelaki cuba memecah masuk rumah mereka.