BEKAS Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin hari ini mengesahkan dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Johor Darul Ta’zim (JDT).
Khairy meluahkan perasaan teruja untuk menyertai kelab JDT FC yang merupakan kelab bola sepak terbesar di Asia Tenggara.
“Menjunjung setinggi-tinggi kasih terhadap HRH Crown Prince of Johor Duli Yang Amat Mulia Mejar Jeneral Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor, atas perkenan Tuanku melantik saya sebagai Penasihat Belia Johor dan Ahli Lembaga Pengarah Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT FC).
“Saya akan menyumbangkan sedikit pengalaman yang ada pada saya untuk membantu DYAM Tunku Mahkota Johor dalam visi Tuanku untuk menjadikan JDT FC kelab bola sepak paling unggul di benua Asia,” katanya di Facebooknya.
Khairy berkata, beliau juga akan membantu merealisasikan hasrat Tunku Ismail dalam memperkasakan belia di Johor melalui pendidikan, latihan, keusahawanan, kebajikan dan juga memberi perlindungan yang sewajarnya kepada remaja dan kanak- kanak.
“Insya-Allah saya akan membalas kepercayaan ini dengan usaha yang bersungguh-sungguh demi kecemerlangan berterusan JDT FC dan pemerkasaan belia Johor,” katanya.
Sebelum itu, perkara itu turut diumumkan kelab juara bertahan Liga Super itu menerusi ciapan di laman media sosial Facebook Johor Southern Tigers.
“JDT turut mengucapkan tahniah kepada Khairy atas perlantikan beliau sebagai Penasihat Belia Johor. Luaskan Kuasamu Johor,” menurut kenyataan yang disiarkan itu.
Sebelum ini, Tunku Ismail menerusi IG Story memberi bayangan Khairy bakal menyertai ‘keluarga; JDT dan mungkin menjawat jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO).
“CEO masa depan JDT dan penasihat belia Johor,” tulis Tunku Ismail dalam sekeping gambar yang dimuat naik.
Untuk rekod, bekas Ahli Parlimen Rembau itu miliki berpengalaman dalam hal ehwal bola sepak tempatan apabila pernah dilantik sebagai Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 2007.
Malah, Khairy juga pernah menggalas tugas sebagai Menteri Belia dan Sukan dari 2013-2018 dan dalam masa sama muncul individu penting kepada idea penubuhan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP).