FLORIDA – Seekor kucing yang hilang dua tahun lalu di Florida akhirnya ditemukan selepas ‘merantau’ jauh lebih 2,253 kilometer ke kawasan perkampungan di Kansas.
Jabatan Polis Prairie Village berkata, kisah aneh itu terbongkar selepas seorang penduduk tempatan menangkap kucing berkenaan yang berkeliaran di kawasan jalan raya di pekan itu.
Penduduk berkenaan kemudian membawa kucing berkenaan untuk mendapatkan imbasan mikrocip.
Bagaimanapun mikrocip tersebut mendedahkan, kucing oren diberi nama Lucky itu milik sebuah keluarga di bandar Miami di Florida.
Haiwan berkenaan dipelihara keluarga berkenaan namun gagal dikesan selepas melangkah keluar dari rumah tuannya lebih dua tahun lalu.
“Pegawai kawalan haiwan kami menghubungi pemilik di Miami dan sedang berusaha untuk menyatukan semula haiwan berkenaan dengan tuannya,” jelas jabatan itu menerusi laman Twitter.
Polis berkata, mereka tidak tahu bagaimana Lucky membuat perjalanan yang sangat jauh dari Miami ke Prairie Village.- Sumber Utusan Online & AGENSI