SHAH ALAM – Pelakon yang disyaki menumbuk isterinya di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di Sungai Buloh akan dituduh di mahkamah pada Isnin depan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pelakon berusia 29 tahun itu akan dituduh di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
“Kertas siasatan telah lengkap dan sudah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) pada Selasa lalu.
“Polis telah menerima maklum balas dan arahan TPR untuk menuduh lelaki terbabit di Mahkamah Kuala Kubu Bharu pada Isnin (13 Mac),” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Isnin lalu, Sinar Harian melaporkan pihak polis telah mendapat perintah mahkamah bertujuan menghalang pelakon terbabit daripada melakukan perbuatan sama terhadap mangsa sementara siasatan dijalankan polis.
5 Mac lalu, polis telah menahan lelaki itu kira-kira jam 12 tengah hari ketika hadir di Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.
Pelakon itu kemudian dibebaskan dengan jaminan polis sebaik selesai diambil keterangan pada petang hari sama.
Sebelum itu, isteri kepada pelakon terbabit membuat laporan polis di Balai Polis Jinjang mendakwa ditumbuk suaminya beberapa kali sehingga cedera di bahagian mata. (Sumber Sinar Harian Online)