PETALING JAYA – Dunia hiburan K-pop dikejutkan dengan kematian penyanyi kumpulan Astro, Moonbin yang ditemui sudah tidak bernyawa di kediamannya.
Pemergian artis itu disedari pengurusnya yang menemui tubuh kaku Moonbin di kediamannya di Gangnam, Seoul sekitar pukul 8 malam tadi, waktu Korea Selatan.
Siasatan awal polis, Moonbin dipercayai membunuh diri.
Namun, bedah siasat sedang dijalankan bagi mengesahkan punca sebenar kematian.
Buat masa kini, mayat Moonbin ditempatkan di rumah pengebumian Hospital Asan di Seoul.
Syarikat pengurusannya, Fantagio turut mengesahkan kematian Moonbin serta memberitahu penyanyi itu kini menjadi ‘bintang di langit’.
“Walaupun tidak dapat dibandingkan dengan kesedihan yang dilalui keluarga yang terpaksa berpisah dengan anak dan adik kesayangan mereka, kesemua artis dan kakitangan di Fantagio yang telah bersama-sama dengannya untuk tempoh masa yang lama juga sedang berkabung serta sangat terkejut dengan pemergiannya,” kata agensi itu dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Moonbin atau nama sebenarnya Moon Bin yang dilahirkan di Cheongju, wilayah Chungbuk memulakan kerjaya seninya sebagai model kanak-kanak pada tahun 2004 sebelum bergelar model pada 2006.
Mengembangkan lagi bakat seninya, Moonbin membuat debut bersama kumpulan Astro pada 2016.
Dalam bidang lakonan, Moonbin pernah membuat kemunculan menerusi drama bersiri Boys Over Flowers (2009).
Moonbin juga pernah membintangi siri televisyen popular, At Eighteen pada tahun 2019. – (Sumber KOSMO! ONLINE)