“MUZIK yang kami perjuangkan adalah tentang perkongsian, tiada istilah persaingan bagi kami.”
Itu perkongsian yang dilontarkan pemain keyboard kumpulan Exist, Ajai, mengenai konsep muzik yang diperjuangkan oleh kumpulan yang membawa genre pop rock sejak 1991.
Hampir tiga dekad berkecimpung dalam industri muzik, kumpulan yang meledak popular menerusi lagu Untukmu Ibu menzahirkan kepuasan maksima apabila berpeluang mengadakan konsert di lokasi berprestij, Dewan Filharmonik Petronas (DFP).
Exists melakar sejarah tersendiri apabila dewan konsert yang boleh memuatkan 920 penonton dipenuhi peminat setia kumpulan ini sehingga ke tingkat tiga.
Bagi Ajai, melihat penonton tersenyum merupakan satu nikmat yang tiada galang ganti kerana senyuman itu memberikan ‘nyawa’ buat kelangsungan muzik mereka.
“Peminat yang datang hari ini adalah ‘nyawa’ muzik bagi Exists. Ada yang sanggup datang jauh dari Singapura.
“Kami bangga sebab peminat yang hadir adalah berusia 40 tahun ke atas, kuasa beli mereka kuat kerana masing-masing sudah bekerjaya. Ada yang mula kenal kita sejak zaman remaja lagi yang pernah beli kaset Exists,” katanya usai konsert, baru-baru ini.
“Kami bangga sebab peminat yang hadir adalah berusia 40 tahun ke atas, kuasa beli mereka kuat kerana masing-masing sudah bekerjaya. Ada yang mula kenal kita sejak zaman remaja lagi yang pernah beli kaset Exists,” katanya usai konsert, baru-baru ini.
TIKET LICIN
Bagi pemain bass, Musa, kejayaan sesebuah konsert boleh diukur apabila mendapat sambutan hebat daripada peminat.
Ini terbukti apabila tiket yang dijual habis terjual dalam masa singkat, sekali gus katanya, memberikan kelegaan buat penganjur dan artis itu sendiri.
“Kalau peminat beli tiket pada saat-saat akhir itu budaya yang tidak sihat. Situasi itu akan menyebabkan penganjur dan artis gelisah.
“Kejayaan itu sebenarnya saling berkaitan antara penganjur, artis dan peminat,” kongsinya.
Disoal pemilihan lagu semasa konsert di DFP, Musa berkata, bab itu ternyata mendatangkan kesukaran buat mereka sekumpulan kerana ramai peminat yang mencadangkan lagu tertentu untuk dipersembahkan.
“Itupun kami tak dapat memenuhi permintaan semua sebab lebih 15 lagu yang peminat dapat sing along.
“Kita menghadapi kesukaran kalau konsert itu berlangsung kurang dua jam, jadi agak terbatas buat kami. Bila konsert dalam sejam lebih (DFP) kita hendak buang dan pilih lagu tertentu juga susah,” katanya.
Selain Ajai dan Musa, Exist yang pernah meraih jualan album sehingga 600,000 unit dianggotai oleh vokalis, Mamat dan Ezad, Along (gitar) dan Ujang (dram).
KEKAL ORIGINALITI
Bagi mengekalkan keaslian lagu, Along berkata, hanya 40 peratus daripada 16 lagu yang dipersembahkan mempunyai susunan dan gubahan baharu.
Katanya, dia tidak boleh melakukan sentuhan muzik baharu terlalu banyak kerana mahu peminat dapat merasakan sendiri feel lagu persis Cakera Digital (CD).
“Kita utamakan originaliti lagu sebab mahu peminat terbuai dengan nostalgia. Kalau ubah banyak sangat nanti peminat akan rasa janggal.
“Bila mereka dapat rasa muzik yang kita main sama seperti dahulu, automatik ia mengimbas kenangan mereka sejak zaman bangku sekolah,” jelasnya.
Exists membuai nostalgia penonton di DFP dengan seleksi lagu malar segar seperti Rahsia Pohon Cemara, Mengintai Dari Tirai Kamar, Janji Padamu, Jesnita dan Percayakan Siti.
Berdasarkan rekod cemerlang itu, Exists bakal menganjurkan konsert Unplugged pada Januari tahun depan di Kuala Lumpur dan Singapura. (Sumber Utusan Malaysia Online)