Fahmi Fadzil : Tabung Komuniti Filem bantu penggiat seni

KUALA LUMPUR : Demi meningkatkan kesejahteraan dan memberi sokongan kepada penggiat industri perfileman tempatan, Kementerian Komunikasi Digital (KKD) melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) melancarkan Tabung Komuniti Filem.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, Tabung Komuniti Filem yang diluluskan Belanjawan 2023 dianggap manifestasi komitmen kerajaan untuk memberi sumbangan dalam bentuk pembiayaan kewangan kepada penggiat industri perfileman.

“Tabung ini berperanan menyelaras agihan bantuan, sumbangan, kutipan derma yang diterima melalui kerjasama daripada badan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan, syarikat swasta dan individu.

“Tabung Komuniti Filem akan ditempatkan di FINAS untuk meneliti beberapa aspek kebajikan yang selama ini kita lihat ada keperluan untuk menyantuni dan membantu komuniti filem.

“Bukan hanya dalam kalangan veteran, tetapi sesiapa yang memerlukan dalam komuniti filem,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan surat tawaran Dana Kandungan Digital (DKD) dan melancarkan Tabung Komuniti Filem di Dewan Serbaguna, Kompleks KKD, Putrajaya, semalam.

Fahmi berkata, antara objektif utama penubuhan Tabung Komuniti Filem adalah menguruskan aktiviti sebelum, semasa atau selepas bencana dan kemalangan membabitkan penggiat industri kreatif tempatan.

“Ini termasuk mengendalikan program komuniti filem, ziarah anak seni dan kempen kesedaran memajukan industri perfileman Malaysia serta mengagihkan bantuan dengan memberi sumbangan kepada komuniti filem memerlukan.

“Selain itu, tabung itu bertujuan membiayai aktiviti FINAS yang berkaitan dengan pembangunan komuniti filem.

Fahmi Fadzil dan bersama penggiat seni selepas menyerahkan surat tawaran Dana Kandungan Digital serta pelancaran Tabung Komuniti Filem di Kompleks Kementerian Komunikasi Digital, Putrajaya (Foto dari Berita Harian Online)

“Saya juga mengalu-alukan mana-mana pihak untuk bekerjasama dan menyumbang kepada Tabung Komuniti Filem.

“Oleh kerana, tabung baru dilancarkan hari ini (semalam), saya akan adakan sedikit perbincangan dengan FINAS termasuk wakil industri yang mengetahui keperluan tahunan,” katanya.

Pada majlis itu, Fahmi turut menyerahkan DKD bagi kategori Dana Filem Cereka, Dana First Time Amature Filmmaker (FAME), Dana Persembahan Muzik serta Dana Promosi dan Pemasaran Antarabangsa kepada 39 penerima.

Permohonan DKD yang dibuka sejak 6 Mac hingga 5 April lalu menerusi FINAS serta 23 Mac hingga 19 Mei bagi Kumpulan My Creative Ventures (MyCV), dilihat menjadi pemangkin kepada penghasilan kandungan kreatif tempatan berkualiti selain berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Melalui FINAS, sebanyak 14 syarikat ditawarkan Dana Filem Cereka dan 10 syarikat ditawarkan Dana FAME dengan nilai keseluruhan RM18.3 juta.

Manakala, bagi MyCV, 11 syarikat ditawarkan Dana Persembahan Muzik dan empat syarikat ditawarkan Dana Promosi dan Antarabangsa membabitkan RM3.3 juta.

Fahmi berkata, dana diagih dianggap amanah yang diserah kepada penerima untuk memanfaatkan peruntukan kewangan dengan baik.

“Saya amat mengharapkan komitmen serta fokus yang tinggi supaya projek dapat dilaksana mengikut kos, tempoh dan skop ditetapkan,” katanya.

Fahmi turut mengumumkan peruntukan RM36 juta kepada FINAS, MyCV dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bagi melaksanakan DKD filem cereka, program televisyen (TV), dokumentari, persembahan muzik, kebolehpasaran domestik, promosi dan pemasaran antarabangsa.

Ini termasuk Insentif Pembangunan Aset Digital (NFT), program pembangunan teknologi digital, Program Onboarding Metaverse, Program Pengalaman Imersif Harta Intelek dan lain-lain.

Fahmi Fadzil ketika melancarkan Tabung Komuniti Filem pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Dana Kandungan Digital di Kementerian Komunikasi dan Digital, Putrajaya (Foto dari Kosmo Online!)

Permohonan DKD secara berperingkat akan dibuka mulai bulan depan. Penggiat industri boleh layari Portal Rasmi FINAS, MyCV, MDEC serta KKD untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Sementara itu, Fahmi berkata, FINAS dan MyCV disaran mengadakan pertemuan dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi membincangkan aspek perlindungan buat penggiat industri kreatif.

Fahmi berkata, langkah itu penting bagi memastikan setiap kegiatan di bawah industri kreatif dapat menjamin keselamatan penggiatnya.

“Saya menyentuh mengenai keperluan FINAS dan MyCV mengadakan perbincangan dengan pihak PERKESO untuk meneliti aspek keselamatan sosial pekerja dalam industri kreatif.

“Kalau kita tahu, rakan dalam bidang perfileman atau kru bagi industri muzik menjalankan pelbagai projek.

“Jadi, kebiasaannya, ada aspek keselamatan sosial yang perlu diberi perhatian termasuk isu pencen ilat dan khairat kematian. Saya harap perbincangan itu dapat diadakan segera,” katanya. (Sumber Berita Harian Online)

Related Articles

[td_block_social_counter facebook="mykosmopolitan" twitter="tagdivofficial" youtube="tagdiv" style="style8 td-social-boxed td-social-font-icons" tdc_css="eyJhbGwiOnsibWFyZ2luLWJvdHRvbSI6IjM4IiwiZGlzcGxheSI6IiJ9LCJwb3J0cmFpdCI6eyJtYXJnaW4tYm90dG9tIjoiMzAiLCJkaXNwbGF5IjoiIn0sInBvcnRyYWl0X21heF93aWR0aCI6MTAxOCwicG9ydHJhaXRfbWluX3dpZHRoIjo3Njh9" custom_title="Stay Connected" block_template_id="td_block_template_8" f_header_font_family="712" f_header_font_transform="uppercase" f_header_font_weight="500" f_header_font_size="17" border_color="#dd3333" open_in_new_window="y" manual_count_facebook="525"]
- Advertisement -spot_img

Latest Articles