fbpx

Perkeso sampaikan pencen penghantar makanan nahas Elmina kepada Waris mangsa

SUNGAI PETANI: Waris penghantar makanan yang terkorban dalam nahas pesawat ringan di Shah Alam, Selangor akan menerima dua pencen bulanan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berjumlah RM1,894.75 sebulan bermula akhir bulan depan.

Jumlah bayaran pencen tersebut akan dibahagikan kepada tiga waris Allahyarham Muhamad Hafiz Muhamad Saleh yang layak iaitu bapanya, Muhammad Saleh Othman, 57, ibunya, Jamilah Ismail, 53 dan adik bongsu arwah yang masih belajar, Muhammad Hamidi, 20.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, selain pencen bulanan, waris mangsa turut menerima bayaran Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berjumlah RM2,000 sekali bayar.

Katanya, bayaran pencen bulanan dibuat menerusi dua peruntukan mengikut akta perlindungan sosial berikutan Allahyarham Muhamad Hafiz mempunyai dua caruman di bawah agensi berkenaan sebelum ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed memberi pencen perkeso kepada waris penghantar makanan yang terlibat dalam nahas Elmina

“Waris arwah layak menerima pencen penakat sebanyak RM778.75 kerana arwah mempunyai caruman menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerja ketika berkhidmat di syarikat logistik dengan caruman terakhir pada Jun 2021.

“Manakala caruman kedua pula adalah melalui Akta 789 sejak 10 Mei 2021 di bawah inisiatif kerajaan yang melayakkan waris arwah menerima pencen bulanan sebanyak RM1,116. Oleh itu jumlah keseluruhan yang akan diterima waris adalah RM1,894.75 sebulan,” katanya kepada pemberita selepas menziarahi keluarga mangsa dan menyerahkan FPM kepada warisnya di Sidam di sini, hari ini.

Jelas Mohammed Azman, pencen penakat dibayar kepada waris yang layak apabila berlaku kematian sebarang sebab yang bukan berkaitan bencana kerja, manakala faedah orang tanggungan adalah kematian akibat bencana kerja.

Tinggal kenangan – gambar Muhammad Hafiz bersama ahli keluarganya

 “Caruman ini untuk menjaga kebajikan keluarga, kita perlu ambil iktibar daripada nahas pesawat terhempas baru-baru ini dan saya harap mereka yang belum daftar tampil untuk membuat daftar dan mencarum,” ujarnya.

Tambahnya, berdasarkan rekod Perkeso, seramai 208,818 atau 29.8 peratus daripada 700,704 penghantar makanan dan pengangkutan penumpang yang aktif mencarum menerusi Akta 789 setakat 22 Ogos lalu.

Katanya, bagi tempoh antara Januari hingga Ogos tahun ini pula, Perkeso telah meluluskan sebanyak 3,112 kes tuntutan faedah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) membabitkan nilai keseluruhan mencecah RM16.98 juta, berbanding 4,383 kes dengan bayaran sebanyak RM14.3 juta sepanjang tahun lalu.

“Menerusi program SPS Padanan Caruman, kerajaan telah membiayai sebanyak 80 peratus daripada caruman SKSPS bagi Pelan Caruman 2 berjumlah RM186.20, manakala Orang Bekerja Sendiri (OBS) hanya perlu membayar baki 20 peratus atau RM46.60. 

“Padanan pembiayaan ini melengkapkan bayaran Pelan Caruman 2 SKSPS yang berjumlah RM232.80 bagi memperoleh perlindungan keselamatan sosial pekerjaan sendiri selama 12 bulan,” katanya. –(Sumber Utusan Malaysia Online)

Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles