NEW DELHI, India – Seorang lelaki di negeri Bengal Barat, India menunaikan janji sebelum ini untuk menghadiahkan Bulan sempena hari lahir pertama isterinya selepas perkahwinan mereka.
Sanjay Mahato berbuat demikian dengan membeli sebidang tanah di Bulan atas nama wanita tersebut.
Laman berita Wion News melaporkan, Sanjay mendapat inspirasi untuk membeli tanah berharga 10,000 rupee (RM562) itu selepas kejayaan misi Chandrayaan-3.
Sanjay percaya dia boleh memenuhi janjinya untuk ‘membawa Bulan’ kepada isterinya dengan membeli sebidang tanah di Bulan.
Dia meminta bantuan Luna Society International untuk merealisasikan perkara itu.
“Saya membeli satu ekar tanah di Bulan untuknya (isteri),” kata Sanjay.
Keseluruhan proses itu mengambil masa kira-kira setahun sebelum Sanjay menerima kertas pendaftaran dengan label ‘tuntutan dan surat ikatan berdaftar untuk hartanah di Bulan’.
Bulan memainkan peranan penting dalam kisah cinta Sanjay dan isterinya. Pasangan itu sering duduk di taman sambil merenung Bulan dan berkongsi detik romantis bersama.
Memandangkan Bulan mendapat tempat istimewa di hati mereka, Sanjay menganggap tiada hadiah lebih sesuai untuk sambutan hari lahir pertama isterinya selepas mereka berkahwin. –(Sumber Kosmo! Online)