PUTRAJAYA: Kehilangan pesawat MH370 meninggalkan pengalaman dan nilai sentimental cukup besar bagi individu yang bertanggungjawab dalam misi pencarian pesawat berkenaan, Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman.
Memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) ketika kejadian tanggal 8 Mac 2014 itu, Azharuddin menyimpulkannya sebagai ‘memori hitam’ dan pengalaman berharga tidak mungkin dilupakan.
Beliau bercerita seolah-olah semuanya berlaku semalam dan bukan 10 tahun lalu, termasuk momen mendapat tahu kejadian mengejutkan kehilangan pesawat berkenaan.
“Saya terima mesej minta datang secepat mungkin ke Sama-Sama Hotel untuk sidang media khas. Sarapan pun tak jamah.
“Saya beritahu isteri tak dapat hadiri kenduri keluarga sebab ada perkara lebih mustahak dan saya terus pergi.
“Masa melayan persoalan di fikiran sepanjang memandu, saya dapat maklumat pesawat Boeing 777 (MH370) ke China hilang.
“Astagfirullah! Lagilah saya fikir. Terhempas ke? Apa jadi sebenarnya?,” katanya dalam pertemuan bersama BH di kediamannya, baru-baru ini.
Sebaik tiba di hotel berkenaan, beliau dibawa oleh pegawai ke bilik operasi untuk diberi taklimat dan penerangan situasi semasa.
“Saya rasa macam mimpi. Terkejut betul bila dimaklumkan MH370 dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing, China hilang dan gagal dikesan.
“Saya diminta mengadakan sidang media dan diberitahu ia akan dikendalikan oleh MAS, DCA dan MAHB (Malaysia Airport Holdings Berhad).
“Selepas berbincang dengan pegawai tertinggi MAS, mereka akan mengetuai sidang media hari pertama itu kerana ia pesawat mereka.
“Kita tak sempat beritahu menteri sebab ketika itu menteri ada pemukiman. Mesej masuk bertalu-talu dari segala jenis nombor,” katanya.
Sebalik melangkah masuk ke bilik sidang media dan melihat ratusan petugas media dan lensa kamera berkelip tanpa henti, Azharuddin benar-benar ‘tersedar’ peristiwa kehilangan pesawat itu berita amat besar dan disaksikan seluruh dunia.
Rutinnya berubah sekelip mata. Sejak hari pertama kejadian, beliau ‘berkampung’ dari satu hotel ke hotel lain untuk memudahkan tugas bersama pasukan.
“Mula-mula mencari dan menyelamat, kemudian mencari dan mengesan (pesawat), jadi kami ditempatkan di Sama-Sama Hotel kerana bilik operasi di situ dan kami membuat analisis carian.
“Saya tak balik rumah tiga bulan, hanya berpindah dari hotel ke hotel,” katanya. (Sumber Berita Harian Online)