KENINGAU – “Lebih 25 tahun bergelar pastor dengan pelbagai persoalan yang timbul hingga menjadi perdebatan mengenai hala tuju hidup ini.
“Akhirnya saya ambil keputusan untuk bersyahadah dan peluk Islam pada tahun 2014 setelah memperolehi pelbagai jawapan dari persoalan-persoalan yang timbul terutama mengenai kewujudan Tuhan Yang Maha Esa,” kata Pamail Nanduwan, 55, ketika memulakan perbualan.
Menurutnya, selama bergelar pastor bukan sahaja pelbagai persoalan yang timbul, malah juga berlaku perdebatan dengan kawan-kawan mengenai agama yang benar.
Pamail memberitahu, dari perdebatan dan persoalan yang timbul, dia mula tercari-cari jawapan termasuk bertanyakan kepada pihak-pihak tertentu.
“Akhirnya saya mendapat jawapan kepada setiap perdebatan dan mengambil keputusan untuk peluk Islam setelah bergelar pastor sejak berusia 20-an,” katanya yang merupakan dari suku kaum Murut.
Menceritakan lebih lanjut, Pamail berkata, ketika hendak membuat keputusan bersyahadah, timbul juga persoalan akan kehilangan pendapatan kira-kira RM1,700 sebulan yang diperolehi selama ini.
“Namun saya nekad untuk mengucapkan dua kalimah syahadah walaupun pendapatan bulanan itu hilang.
“Bagi saya, keyakinan terhadap rezeki dimiliki Allah SWT. Allah SWT akan membantu setiap hambaNya yang menjaga agamaNya,” katanya ketika ditemui bersama Penaung Persatuan Infaq Kebajikan Umah Takaful Pulau Pinang (IKUT), Zolkifly Md. Lazim.
Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) IKUT mengadakan program dakwah sekitar Keningau dan Hutan Simpan Sapulut, Nabawan baru-baru ini.
Tambah Pamail, pada peringkat awal, ada kalangan ahli keluarganya yang tidak setuju dia memeluk agama Islam disebabkan kehilangan pendapatan lumayan.
“Akhirnya mereka terima hakikat apabila melihat kehidupan saya bertambah baik,” katanya.
Sementara itu, Zolkifly berkata, program dakwah di Keningau dan Hutan Simpan Sapulut itu adalah atas permintaan penduduk sekitar termasuk yang tinggal di pedalaman.
“Program ini antara lain bagi menjawab pelbagai pertanyaan terutama dari golongan mualaf mengenai agama Islam,” katanya.