KOTA BHARU – Majlis makan malam amal sempena Ulang Tahun Persatuan Orang Pekak Kelantan (POPK) ke 30 tahun bukan sahaja meriah dengan disertai lebih 300 orang pekak, malah mendapat pujian serta keyakinan dari kerajaan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Masyarakat Negeri Kelantan, Datuk Rohani Ibrahim ketika berucap melahirkan keyakinan bahawa POPK kini semakin matang dan menjadikian ia berdaya tahan.

“Dengan kehadiran begitu ramai tetamu pada majlis ini dan setelah berusia 30 tahun, membuktikan kematangan dan ketahanan POPK dalam menempuh cabaran membela komuniti pekak di negeri ini.
“Syabas POPK,” katanya sambil merasmikan majlis berkenaan di sebuah hotel di sini.
Dengan tema majlis ‘Bersama Menyokong Membina Masa Depan’, beliau berkata, kerajaan negeri amat menghargai sumbangan dan peranan POPK.

Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri telah melantik penyelaras di setiap Parlimen di negeri ini bagi mengenal pasti golongan orang kurang upaya (OKU) termasuk orang pekak.
Melalui langkah itu kata Rohani, golongan pekak dan OKU lain akan didaftar bagi membolehkan segala bantuan serta keperluan mereka dapat disampaikan.
“Dari langkah tersebut, sehingga kini lebih 51,000 orang pekak dan OKU lain-lain kategori telah didaftarkan di negeri ini supaya kerajaan negeri dapat menyampaikan keperluan serta bantuan yang disenaraikan setiap tahun.
“Kerajaan negeri berpuas hati kerana mendapat kerjasama dari POPK dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lain,” katanya.
Pada majlis itu, turut hadir Presiden POPK, Razani Ramli; Presiden Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD), Mohd. Norhisham Aluwi; Pengarah Eksekutif merangkap Penasihat MFD, Mohamad Sazali Sha’ari; Presiden Persatuan Jurubahasa Isyarat Malaysia (MyASLI), Wan Zuraidah Abu dan timbalannya, Goh Soo Leng.
Tambah Rohani, langkah melantik peyelaras itu sebagai bukti kerajaan negeri tidak mengetepikan keperluan komuniti pekak, malah prihatin dalam membela golongan berkenaan.
Sementara itu, Razani dalam ucapan alu-aluannya memberitahu, POPK amat berterima kasih dengan kerajaan negeri dan Jabatan Agama Islam negeri.
“Melalui sokongan kerajaan negeri, setiap minggu orang pekak berpeluang mendalami ilmu agama melalui kelas fardu ain selain kelas mengaji al-Quran dan kelas al-Fatihah.
“Harapan POPK, kerjasama ini dapat diperluaskan lagi agar ahli-ahli POPK dapat mendalami ilmu agama,” katanya.
Pada majlis itu, apa yang menarik apabila diadakan persembahan dikir barat dan ia diterjemahakan melalui jurubahasa isyarat.

