21 Dis – Pasaraya terkemuka negara, Mydin seikhlas hati menghalallkan tindakan mangsa banjir yang memecah masuk Mydin Mart Taman Sri Muda demi kelangsungan hidup semalam
Pengarah Urusan Mydin, Datuk Wira Ameer Ali Mydin dalam satu kenyataan berkata, walaupun beliau tidak menyokong tindakan mencuri tetapi memahami situasi yang dialami mangsa banjir ekoran lambat menerima bantuan dan terdesak.
Kenyataan tersebut dikeluarkan sebagai memberi maklum balas mengenai insiden pecah masuk ke premis Mydin Mart tersebut yang sedang hangat dibincangkan di media sosial.
“Saya amat tersentuh dan simpati dengan insiden bencana banjir teruk yang melanda terutamanya ketika negara masih bergelut dengan wabak COVID-19.
“Sejujurnya saya tidak menyokong perbuatan mencuri tersebut, namun dalam keadaan darurat mungkin mereka tiada pilihan dan terpaksa melakukan perbuatan tersebut demi kelangsungan hidup,” katanya.
Tambahnya, cawangan Mydin Sri Muda tersebut turut musnah akibat banjir 18 Disember lalu dan mengakibatkan kerugian melebihi jutaan ringgit.
“Saya seikhlas hari menghalalkan mereka yang melakukan perbuatan tersebut dengan niat meneruskan kelangsungan hidup akibat bantuan yang tiba lambat dan bukan dengan niat yang sebaliknya,” katanya.
Dalam kenyataan tersebut, beliau juga turut mengajak rakyat Malaysia memanjatkan doa kepada Allah agar mereka semua terselamat dan bencana banjir serta pandemik pulih seperti biasa.” ujarnya lagi.
Semalam polis mengesahkan terdapat beberapa kejadian pecah kedai serbaneka berlaku di Taman Sri Muda, Seksyen 25 Shah Alam.
Antara kedai serbaneka terbabit adalah Mydin Mart, KK Mart, 7 Eleven dan Pasaraya Jimat dan kejadian ini dipercayai berlaku antara 1 tengah hari hingga 2 petang.