PUTRAJAYA – Bermula dengan melatih kakitangan jabatan agar mahir Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) diikuti kejayaan menerbitkan buku poket bahasa isyarat, bukan sahaja mewujudkan kolaborasi dengan Persekutuan Orang Pekak Malaysia, malah menjadikan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) ke hadapan.
Langkah tersebut menjadikan JKSM bersama kakitangannya yang sudah terlatih, benar-benar bersedia dalam membantu dan membela komuniti pekak.
Perkara ini diakui oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Marhamah Rosli yang menganggap langkah JKSM itu telah meletakkan jabatan tersebut ke hadapan.
Menurut beliau, bukan sahaja MFD berjaya melatih kakitangan JKSM dengan kemahiran BIM, malah penerbitan buku poket bahasa isyarat yang berkaitan menjadi panduan apabila berhadapan dengan komuniti pekak.
“Usaha dan kolaborasi ini secara langsung meletakkan JKSM ke hadapan dan benar-benar bersedia untuk membantu komuniti pekak.
“Tahniah JKSM, tahniah MFD. Ini pembelaan dan keprihatinan terhadap komuniti pekak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan wartawan pada Majlis Pelancaran Garis Panduan Pengendalian Orang Kurang Upaya (OKU), Buku Poket Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) Serta Penyerahan Peranti Tablet Bagi Kegunaan Pelanggan OKU Di Mahkamah Syariah Di Bawah Inisiatif Belanjawan 2026 Jabatan Perdana Menteri di sebuah hotel di sini.
Pada majlis yang dihadiri lebih 300 orang serta mendapat kerjasama Amanah Raya itu, Marhamah turut menyantuni komuniti pekak, orang buta dan OKU lain-lain kategori sambil menyampaikan bantuan.
Turut hadir, Ketua Pengarah merangkap Ketua Hakim Syarie JKSM, Datuk Mohd, Amran Mat Zain; Pengarah Eksekutif merangkap Penasihat MFD, Mohamad Sazali Sha’ari dan Presiden Persatuan Jurubahasa Isyarat Malaysia (MyASLI), Wan Zuraidah Abu.
Beliau menambah, usaha gigih JKM dan MFD itu menjadi bukti bahawa kedua-dua pihak gigih membela komuniti pekak dan juga mesra OKU.
Sementara itu, Mohd. Amran memberitahu, kakitangan JKSM termasuk di negeri-negeri sudah benar-benar bersedia dalam membantu komuniti pekak dan OKU lain-lain kategori sebelum mereka masuk ke mahkamah.
Menurutnya, langkah JKSM itu sebagai menyokong bahawa OKU juga mempunyai hak inklusif dalam masyarakat dan juga dari segi undang-undang negara.
“JKSM mahu mewujudkan komunikasi yang berkesan dengan golongan terbabit,” katanya.

