PANDANGAN udara di sebatang jalan di Seksyen 25, Shah Alam baru-baru ini.

MANGSA banjir yang terjejas teruk akibat tempias Taufan Rai yang mengakibatkan bah besar di negara ini pada minggu lalu dijangka akan menerima manfaat dalam pakej bantuan keseluruhan bernilai RM100 juta.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Mohd Shahar Abdullah dalam Dewan Negara hari ini berkata, bantuan itu diperuntukkan bagi aktiviti pemulihan pascabanjir serta membantu pembelian peralatan dan kelengkapan rumah yang musnah akibat bencana banjir.

Datuk Mohd Shahar Abdullah
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Mohd Shahar Abdullah

Katanya, kerajaan turut menyediakan bantuan wang ihsan sebanyak RM5,000 yang akan diberikan kepada waris mangsa banjir yang meninggal dunia selain bantuan RM1,000 yang akan diberikan kepada ketua isi rumah yang terjejas.

Selain itu, katanya bantuan bayaran balik pinjaman untuk mangsa banjir bagi pinjaman perumahan dan hartanah, kenderaan, kad kredit dan pinjaman peribadi sehingga enam bulan meliputi kemudahan penangguhan atau pengurangan bayaran balik ansuran.

“Pembiayaan pinjaman peribadi tanpa faedah sehingga RM5,000 oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) dan moratorium selama enam bulan pertama ke atas pembayar ansuran bulanan dan terbuka kepada mangsa-mangsa banjir di seluruh negara.

“Untuk usahawan PMKS (Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana), kerajaan telah menyediakan dana khusus sebanyak RM30 juta untuk pinjaman pemulihan banjir di bawah perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro di bawah Tekun Nasional,” katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Seruandi Saad yang ingin tahu inisiatif kerajaan bagi membantu mangsa-mangsa yang terlibat dengan bencana banjir yang melanda beberapa negeri.

Dalam pada itu, Mohd Shahar berkata pinjaman sehingga RM10,000 tanpa faedah dan moratorium diberikan untuk tempoh 12 bulan serta pembiayaan kewangan sebanyak RM5,000 melalui BSN tanpa faedah atau keuntungan dengan tempoh bayaran bermula selepas enam bulan pembiayaan ditandatangani.

Beliau berkata Bank Negara Malaysia turut mengumumkan kemudahan pembiayaan sebanyak RM20 juta yang disediakan untuk PMKS yang terjejas melalui kemudahan bantuan bencana 2022.

“Kerajaan setuju memberi dua bulan pengecualian sewa kepada penyewa SME Bank’s Entrepreneur Premises Complex yang terjejas akibat banjir,” katanya.

Previous articleMydin halalkan mangsa banjir pecah masuk premis
Next articleGantian percuma sijil rosak akibat banjir – SSM
Faizal Zakaria pernah berkhidmat dengan akhbar Kosmo! selama 14 tahun sebelum membawa haluan sendiri melalui Skim Pemisahan Sukarela (VSS) pada 2018. Jawatan terakhir beliau ketika itu ialah Editor Prosesan. Sepanjang berkhidmat dengan akhbar terbitan Kumpulan Utusan itu, Faizal pernah ditugaskan di Meja Laporan Khas, Meja Ekonomi, Meja Luar Negara, Meja Rencana Ahad dan terakhir, Editor Prosesan. Selain pernah memenangi hadiah tertinggi kewartawanan, Hadiah Kajai pada 2004, Faizal dari semasa ke semasa menyampaikan syarahan di beberapa universiti tempatan dan luar negara, serta menjadi jurulatih korporat dalam bidang penulisan media.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here