SUBANG JAYA – Persatuan Pembangunan Masyarakat dan Alam Selangor (HANDS) yang aktif menjalankan aktiviti tanggungjawab sosial masyarakat menyerahkan 500 bakul makanan kepada penduduk pelbagai kaum dalam program di Dewan Serba Guna Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Puchong Indah dekat sini.
Bakul makanan bernilai RM100 setiap satu itu mengandungi beras, minyak masak, tepung, gula, susu dan beberapa barangan kering lain.
Para penerima bakul makanan itu yang terdiri daripada pelbagai kaum berpendapatan rendah, datang dari beberapa daerah sekitar Selangor termasuk Puchong.
Pada program itu, HANDS turut menyantuni beberapa kakitangan Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD) dan orang pekak yang hadir menerima bakul makanan tersebut.
Presiden HANDS, Datuk Dr. Kannan Raman memberitahu, ia merupakan aktiviti berterusan setiap tahun sejak 20 tahun lalu.
Menurutnya, selain mengadakan program setempat, HANDS turut menyampaikan barangan dapur kepada penduduk dalam program dari rumah ke rumah.

Jelas beliau, pihaknya akan terlebih dahulu bekerjasama dengan jawatankuasa penduduk untuk mengenal pastik golongan yang layak dan berpendapatan rendah.
“Setiap kali tiba hari perayaan seperti Aidilfitri, Deepavali, Tahun Baharu Cina dan sebagainya, HANDS melalui pihak-pihak penaja akan menyerahkan beberapa bantuan kepada penduduk Selangor.
“Kali ini,TRM Nett Systems (M) Sdn. Bhd berbesar hati memberi tajaan utama dalam program ini,” katanya kepada wartawan pada program 500 Deepavali Hampers 2026.
Hadir pada program itu ialah Penaung HANS, Tengku Datuk Dr. Hishammuddin Zaizi Tengku Bendahara Azman Shah yang merasmikan majlis berkenaan; Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Seri Serdang, Abbas Salimi Azmi dan Ketua Pegawai Eksekutif TRM Nett System (M), Tirrumaran M.
Kannan menambah, setiap program HANDS akan melibatkan semua kaum tanpa mengira warna kulit atau fahaman.
“HANDS akan bergerak ke seluruh negeri Selangor dan kita mendapat kerjasama penuh dari kepemimpinan setiap daerah.
“Harapan kita setiap aktiviti dari HANDS dapat mengurangkan beban penduduk,” katanya.
