fbpx

Johor kurangkan jarak fizikal antara jemaah

5 JAN: Solat di masjid dan surau di Johor akan dilakukan dengan hanya setengah meter penjarakan fizikal antara jemaah berkuat kuasa Jumaat ini.

Ketetapan tersebut diputuskan Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor pada 28 Disember lalu selepas mendapat perkenan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.

“Dipersetujukan pelaksanaan solat fardhu Jumaat dan solat berjemaah fardhu lima waktu didirikan dengan pengurangan penjarakan daripada satu meter kepada setengah meter di antara para jemaah,” kata jawatankuasa itu dalam satu kenyataan, hari ini.

Kerajaan Johor pada 24 November lalu dilaporkan akan membentangkan cadangan SOP baru bagi membolehkan solat jemaah di masjid dan surau negeri ini dilakukan tanpa penjarakan sosial dan akan dipersembahkan kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, bagi mendapatkan perkenan baginda.

Ramai masyarakat Islam di Johor menimbulkan persoalan bila solat jemaah di masjid dan surau di negeri ini dapat kembali seperti dahulu, tanpa penjarakan sosial selepas Johor memasuki Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Sejak Oktober lalu, Johor membenarkan jemaah menunaikan solat Jumaat di masjid dan surau negeri itu mengikut kapasiti ruangan dengan mematuhi penjarakan fizikal satu meter.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan pada 13 Oktober lalu itu, Johor turut membenarkan solat fardhu lima waktu dan solat jenazah pula mengikut kapasiti satu pertiga ruangan solat masjid dan surau dengan penjarakan fizikal satu meter.

Sementara itu, jawatankuasa fatwa negeri juga membenarkan SOP solat hajat dilaksanakan selepas solat fardhu maghrib setiap hari dan selepas solat fardhu Jumaat setiap minggu di seluruh masjid dan surau negeri Johor untuk memohon kesejahteraan negeri dan negara dari segala musibah dan wabak penyakit.

“Program pengimarahan masjid dan surau seperti kuliah dan ceramah agama daripada satu jam ditambah kepada tempoh tidak melebihi daripada dua jam.

“Qunut Nazilah hendaklah dibaca dalam solat fardhu Jumaat setiap minggu.

Related Articles

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles