fbpx

KKM teliti alasan 17 pengembara tidak divaksin

6 JAN: Seramai 17 daripada 122 individu yang disahkan dijangkiti varian Omicron setakat 4 Januari lalu, didapati tidak mempunyai rekod vaksinasi, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Katanya, pihaknya sedang meneliti alasan di sebalik rekod segelintir pengembara dari luar negara berkenaan yang tiada rekod vaksinasi COVID-19.

Jelasnya, 17 individu atau 14 peratus daripada yang disahkan dijangkiti varian membimbangkan (VOC) itu membabitkan 10 warganegara dan tujuh bukan warganegara.

“Negara import kes Omicron tanpa rekod vaksinasi ini ialah dari United Kingdom membabitkan empat kes, Nigeria (empat), Emiriah Arab Bersatu (empat) dan masing-masing satu kes dari Amerika Syarikat, Australia, Ghana, Ireland serta Arab Saudi.

KHAIRY

“Berdasarkan siasatan awal Kementerian Kesihatan (KKM) terhadap pengembara dari luar negara, kita dapati daripada 122 positif Omicron selepas masuk ke Malaysia, 14 peratus (17 kes) tiada vaksinasi.

“Di sini, wujud isu ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) kerana hanya mereka yang divaksin sepatutnya dibenarkan melakukan perjalanan,” katanya pada sidang media di Parlimen di ibu negara, hari ini.

Menurutnya, jumlah kumulatif kes positif COVID-19 yang dikesan varian Omicron di Malaysia, setakat hari ini ialah 245 kes dan 157 daripadanya atau 64.08 peratus membabitkan jemaah umrah.

Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 233 kes adalah jangkitan import manakala 12 kes lagi penularan tempatan di Sarawak.

Katanya, ia penambahan sebanyak 123 kes baharu yang dilaporkan hari ini kepada jumlah jangkitan pada 4 Januari lalu yang merekodkan 122 kes.

Berhubung perkembangan varian baharu dikenali sebagai IHU, Khairy berkata, KKM masih menunggu makluman selanjutnya daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sama ada strain berkenaan bakal dikategorikan sebagai varian berkepentingan (VOI) atau varian membimbangkan (VOC).

“Setakat ini, IHU belum dikategorikan sebagai VOI atau VOC, justeru kita tunggu maklumat lanjut daripada WHO tetapi KKM mengambil maklum berhubung perkembangan penularan varian berkenaan,” katanya.

Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles