fbpx

Kerajaan tambah dana bantuan banjir, perkenal baucer diskaun automatif

7 JAN: Kerajaan meningkatkan dana Kemudahan Bantuan Bencana di bawah Bantuan Banjir Keluarga Malaysia kepada RM500 juta daripada RM200 juta sebelum ini.

Selain itu, Kerajaan menyediakan inisiatif Baucar Diskaun Automotif Keluarga Malaysia kepada rakyat terjejas akibat banjir.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata peningkatan dana itu bagi meringankan beban golongan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terjejas akibat bencana banjir.

“Ciri kemudahan ini juga ditambah baik, di mana jumlah pembiayaan maksimum ditambah daripada RM500,000 kepada RM700,000 untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan RM75,000 kepada RM150,000 untuk perusahaan mikro.

“Tempoh pembiayaan maksimum dipanjangkan daripada lima tahun kepada tujuh tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain daripada Kemudahan Bantuan Bencana, Tengku Zafrul berkata, inisiatif Baucar Diskaun Automotif Keluarga Malaysia sehingga RM1,000 kepada warganegara yang layak juga diumumkan untuk pembaikan atau penggantian kenderaan penumpang persendirian termasuk motosikal, trak pikap dan van bertingkap yang rosak akibat banjir.

TENGKU ZAFRUL

Katanya, inisiatif itu dilaksanakan menerusi usahasama antara kerajaan dan syarikat automotif di mana syarikat akan menawarkan diskaun sekurang-kurangnya 25 peratus bagi kerja pembaikan serta kos tunda kenderaan secara percuma dan kerajaan akan menyediakan baucar diskaun sehingga RM1,000.

“Dalam hal ini, kerajaan mengalu-alukan langkah syarikat Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) dan Proton Holdings Bhd (PROTON) untuk menawarkan diskaun 50 peratus ke atas kos alat ganti.

“PERODUA juga menawarkan upah kerja pembaikan secara percuma. Kerajaan menggalakkan syarikat automotif yang lain untuk turut menawarkan insentif yang lebih baik untuk pelanggannya,” katanya.

Beliau berkata, bagi memanfaatkan baucar diskaun itu, pemilik kenderaan yang rosak akibat banjir, tidak perlu membuat sebarang permohonan, selain boleh menebus baucar berkenaan di pusat servis atau pengedar sah syarikat automotif yang terbabit.

“Pengurangan kos pembaikan dinikmati secara potongan terus daripada kos keseluruhan pembaikan atau kos penggantian kenderaan baharu melalui invois yang akan dikeluarkan oleh pusat servis dan pengedar sah,” katanya.

Setakat ini, hampir 20 syarikat automotif dengan rangkaian lebih daripada 1,000 pusat servis berdaftar di seluruh negara, telah bersetuju untuk menyertai inisiatif Baucar Diskaun Automotif Keluarga Malaysia.

“Pemilik kenderaan boleh menghubungi syarikat automotif berkenaan untuk mengetahui pusat servis yang berdekatan.

“Tarikh akhir tuntutan inisiatif Baucar Diskaun Automotif Keluarga Malaysia adalah pada 31 Mac 2022 dan pengguna dinasihatkan untuk segera membuat tuntutan dari pusat servis/pengedar sah yang berdaftar bagi mengelakkan sebarang kesulitan,” katanya.

Related Articles

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles