JAN 20 – Inisiatif perlaksanaan penggunaan RFID (radio frequency identification) lebuhraya PLUS mendapat reaksi yang berbeza dalam kalangan rakyat negara ini. Ada yang menyokong dan ada juga yang membantah manakala majoriti masih samar-samar mengenai peranti baharu ini.
Proses peralihan dari sistem SmartTAG dan Touch‘nGo telah banyak menimbulkan kekecewaan pelbagai pihak dan tidak memberi kesan yang sepatutnya. Ini menimbulkan pelbagai persoalan yang perlu dijawab.
Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) dalam satu kenyataan baru-baru ini berkata Syarikat PLUS dan Touch‘nGo yang memonopoli perkhidmatan ini tidak seharusnya meletakkan keuntungan objektif utama.
Menurut Pengerusi MTEM, Abdul Halim Husin, mereka bagaimanapun menyokong penuh usaha ini kerana peralihan teknologi ini akan dapat meningkatkan lagi kualiti pengalaman penggunaa lebuhraya namun, terdapat kelopongan dalam maklumat yang harus mereka perjelaskan.
“Adakah wajar harga pelekat RFID sebanyak RM35? Jika 1 juta kenderaan yang perlu membayar kos pelekat ini, bermakna hasil Touch‘nGo bertambah 35 juta serta merta! Hakikatnya pengguna SmartTAG tiada pilihan dan sewajarnya pihak PLUS, Touch‘nGo dan kerajaan menanggung sepenuhnya kos peralihan setiap pengguna SmartTAG untuk beralih menggunakan Sticker RFID.
“Pada masa yang sama, pihak PLUS juga wajar terus membuka saluran SmartTAG untuk memberi masa kepada pengguna lebuhraya beralih ke sistem RFID. Ini juga harus dilakukan oleh pemegang konsesi lebuhraya lain di Lembah Klang,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Halim juga berkata, MTEM mencadangkan kepada Touch‘nGo untuk memberi rebat “e-wallet” sebanyak RM100 untuk menggantikan kos peranti yang telah dibeli oleh sebelum ini pengguna.