fbpx

Mati putik sebabkan wanita jadi janda?

KOTA BHARU: Masalah seksual seperti mati putik yang dialami wanita adalah antara penyumbang tertinggi kepada kes perceraian di Kelantan dan Selangor.

Pensyarah Perubatan Jabatan Perubatan Keluarga, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr Rosediani Muhamad berkata, tiga daripada 10 wanita pernah atau sedang mengalami masalah mati putik bercerai dengan pasangan masing-masing.

Katanya, mati putik atau nama saintifiknya disfungsi seksual wanita mungkin tidak menjadi masalah besar bagi sebahagian wanita, namun ada sebilangannya pula merana dalam diam disebabkan malu untuk mendapatkan bantuan sedangkan ia boleh dirawat.

“Selain itu, ada juga yang memilih kaedah berurut atau bertemu bidan bagi menyelesaikan masalah mereka, walau bagaimanapun, keberkesanan yang diperoleh daripada rawatan itu tetap mengecewakan.

“Terdapat tiga punca utama masalah ini berlaku iaitu masalah dalam diri sendiri seperti kesibukan dengan kerja, tekanan berpanjangan, proses kehidupan yang meletihkan seperti proses mengandung, melahirkan, menyusukan, membesarkan anak, mengambil pil perancang, mempunyai penyakit kronik seperti kanser.

“Selain itu, faktor persekitaran dan didikan keluarga juga antara punca masalah mati putik. Kefahaman mengenai seksualiti yang cetek serta kurangnya komunikasi, toleransi, kefahaman berkaitan seks atau hubungan intim turut menyebabkan hubungan suami isteri semakin renggang.

“Dalam hal ini, suami perlu memainkan peranan penting dalam mengemudi rumah tangga dan menjaga perhubungan dengan pasangan.

“Sikap suami yang berang, tidak pandai menunjukkan rasa cinta dan kasih sayang, berat tulang, tidak pandai berkomunikasi, memujuk isteri untuk merasai kenikmatan melakukan hubungan seks juga antara punca masalah ini berlaku,” katanya.

Beliau juga berkata, bagi mencegah masalah mati putik, setiap pasangan perlu memperbetulkan niat mereka terhadap hubungan seks dengan menganggap ia sebagai ibadah, meningkatkan komunikasi dan toleransi, mengubah cara hidup yang lebih mesra keluarga dan menzahirkan kasih sayang antara suami isteri.

“Bagi mereka yang mengalami masalah ini, jangan segan atau malu untuk mendapatkan rawatan atau nasihat daripada doktor di mana-mana Klinik Kesihatan, Klinik Kesejahteraan Wanita dan Klinik Rawatan Keluarga.

“Masalah mati putik juga mampu dirawat dan dicegah dari awal sebelum ianya memudaratkan diri dan pasangan masing-masing. Kongsi masalah anda kerana anda juga layak untuk dapatkan hidup yang lebih bermakna serta keluarga yang bahagia,” katanya. -Lapor Berita Harian

Related Articles

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles