BEIJING: Gara-gara pasaran hartanah yang semakin suram, sejumlah syarikat hartanah kini menerima pembayaran dalam bentuk tembikai, buah pic, dan lain-lain hasil pertanian.
Pasaran hartanah China terjejas teruk akibat kelembapan ekonomi manakala krisis hutang susulan keputusan kerajaan menyekat pengambilan wang pendahuluan sebelum sesuatu projek pembinaan bermula memburukkan lagi keadaan semasa.
Sebuah syarikat pembangunan di timur bandar Nanjing berkata, syarikatnya menerima sebuah lori yang sarat dengan buah tembikai daripada para petani tempatan. Nilai tembikai dalam lori berkenaan dianggarkan bernilai 100,000 yuan (RM65,798).
Di sebuah bandar berdekatan, Wuxi, sebuah syarikat hartanah turut menerima buah pic sebagai bayaran.
Para pembeli rumah di pekan Qi, wilayah Henan yang terkenal sebagai wilayah utama perladangan bawang putih, juga dibenarkan menukar hasil tanaman mereka dengan harga tiga kali ganda berbanding nilai pasaran untuk menyelesaikan bayaran pendahuluan rumah masing-masing.
Menerima hasil pertanian pada harga tinggi telah memberikan peluang kepada syarikat hartanah untuk memberi diskaun lebih tinggi di sebalik tidak tentuan pasaran hartanah kini.
“Dalam musim menuai bawang putih baru-baru ini, keputusan syarikat menerima hasil tani banyak membantu petani di pekan Qi.
“Secara tidak langsung kami juga membantu petani dan memudahkan mereka memiliki kediaman sendiri,” kata pihak pengurusan pembina hartanah di China Tengah baru-baru ini.
Kata mereka, sebanyak 30 hartanah terjual sejak kempen bawah putih diperkenalkan.
Jualan rumah di China diukur berdasarkan keluasan lantai namun jualannya telah merosot sebanyak 11 bulan berturut-turut malah ada antaranya menyusut sehingga 31.5 peratus pada Mei berbanding tempoh sama tahun lalu, demikian menurut data rasmi. – Agensi