NEW DELHI – Sepasang suami isteri rakyat India ditahan membawa 45 pucuk pistol oleh pegawai kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi di New Delhi pada 10 Julai lalu, lapor media India pada Khamis.
Unit antikeganasan Pengawal Keselamatan Negara (NSG) dalam laporan awal, mengesahkan bahawa senjata itu berfungsi sepenuhnya, kata seorang pegawai kastam seperti dipetik oleh agensi berita PTI.
Pasangan yang ditahan itu dikenali sebagai Jagjit Singh dan Jaswinder Kaur pulang ke India dari Ho Chi Minh City di Vietnam.
Jagjit ditangkap bersama pistol dalam dua beg troli yang diberikan oleh saudara lelakinya, Manjit Singh.
Manjit dilaporkan memberikan beg tersebut kepada Jagjit di Vietnam.
Menurut pegawai kastam, penumpang wanita tersebut membantu suaminya mengeluarkan dan memusnahkan tag beg troli yang mengandungi senjata api itu. – Agensi