LANGKAWI – Arca dasar laut berkonsepkan mitos dan legenda Langkawi bakal menjadi tarikan pelacongan baharu pulau peranginan ini.
Lebih menarik, arca tersebut tersenarai dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai Most Underwater Sculptures melalui penghasilan 14 buah arca.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Nancy Shukri berkata, program pelancongan berasaskan komuniti di Pengkalan Kubang Badak itu adalah salah satu usaha bagi memperkasa ekosistem seni dan pelancongan negara.
“Arca dasar laut ini adalah elemen visual baharu dalam penciptaan konten dan kehebatan cerita tentang mitos serta legenda Langkawi dengan kerjasama pengarca dan pelukis bersama komuniti setempat.
“Reka bentuk dan bahan yang digunakan menjadi perumah baharu kepada ekologi marin seterusnya mewujudkan jaringan kelestarian kepada kehidupan marin, komuniti setempat serta pelancongan Langkawi,” katanya di Pengkalan Kubang Badak hari ini.
Nancy berkata, Pengkalan Kubang Badak dan Tanjung Rhu akan menjadi tumpuan pelancong dengan wujudnya produk ekopelancongan baharu itu seterusnya membantu meningkatkan rantaian ekonomi komuniti setempat.