fbpx

Rangka lelaki hilang setahun lalu ditemui dalam MPV di dasar sungai

KUANTAN – Misteri kehilangan seorang lelaki Oktober tahun lalu terungkai apabila rangka manusia ditemukan dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) yang terbenam di dasar Sungai Api-Api, Nenasi, Pekan semalam.

Dipercayai rangka yang adalah mangsa yang hilang, Muhammad Iman Aqmar Dzulkarnain, 25, berdasarkan penemuan pas pekerja miliknya.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, penemuan MPV jenis Nissan Livina di dalam sungai itu disedari seorang pengguna jalan raya ketika berhenti untuk membuang batang besi yang ditemui terjatuh di atas jambatan sungai berkenaan pada jam 11.39 pagi.

Menurutnya, pengguna jalan raya berkenaan ternampak seperti bumbung kereta di dalam sungai lalu melaporkan penemuan itu kepada polis.

“Berdasarkan maklumat itu, sepasukan anggota polis bersama pihak bomba ke lokasi pada jam 12.50 tengah hari dan kerja-kerja mengeluarkan kenderaan itu dilakukan menggunakan jengkaut dan lori tunda.

“Kenderaan tersebut berjaya dikeluarkan dan diangkat ke atas jalan pada jam 4.40 petang.

“Pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan tersebut membawa kepada penemuan rangka manusia dipercayai milik mangsa yang hilang hampir setahun lalu,” katanya.

Mohd Zaidi berkata, rangka tersebut dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini untuk bedah siasat manakala kenderaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, semakan ke atas kenderaan itu mendapati ia didaftarkan atas nama seorang wanita dipercayai ibu mangsa yang beralamat di Perumahan Bakti, Pasir Gudang, Johor.

“Berdasarkan laporan yang dibuat, mangsa dilaporkan keluar rumah kira-kira jam 1 pagi pada 29 Oktober tahun lalu untuk ke tempat kerjanya di Kemaman, Terengganu.

“Ibu mangsa telah dihubungi untuk membuat pengecaman kenderaan, pakaian serta dokumen yang dijumpai bersama rangka tersebut,” katanya.






Related Articles

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles