AHMEDABAD: Seramai 38 mangsa maut manakala beberapa mangsa kritikal akibat meminum arak haram di Gujarat, barat India, menurut pihak berkuasa.
Pegawai polis, Ashok Kumar Yadav, memberitahu kejadian Isnin lalu itu membabitkan 51 mangsa dengan beberapa lagi mangsa kritikal yang menerima rawatan sejak kelmarin, menemui ajal semalam.
“Mereka meminum ‘methyl alcohol’ yang dicairkan sedikit kerana mempercayai ia adalah arak,” katanya.
Polis yang melancarkan siasatan telah menahan enam suspek setakat ini.
Mangsa-mangsa telah dihantar ke hospital di daerah Ahmedabad dan Botad yang berjiran.
Jualan dan meminum alkohol dilarang di negeri asal Perdana Menteri, Narendra Modi, kecuali mereka yang memiliki permit kerajaan.
‘Methyl alcohol’, juga dikenali sebagai alkohol kayu, adalah tidak selamat untuk diminum manusia dan antara lain, digunakan dalam produk seperti pencair cat, bahan api, racun serangga dan sebagai bahan pencegah pembekuan.
Kematian akibat minum arak haram sering berlaku di seluruh India kerana membeli minuman keras buatan sendiri atau alkohol kegunaan industri disebabkan harganya yang murah. – REUTERS