SIBU – Semua pekerja asing yang akan bekerja di Sarawak perlu menjalani saringan malaria terlebih dahulu, selain pemeriksaan perubatan lain seperti ditetapkan kerajaan bagi membendung penularan penyakit itu.
Timbalan Menteri Kesihatan II, Datuk Aaron Ago Dagang, berkata ia mengambil kira 19 kematian direkodkan sepanjang tempoh 2016 hingga 2021 daripada keseluruhan 7,291 kes malaria zoonotik dan malaria manusia jangkitan import di negeri ini.
Justeru, beliau berkata, agensi kerajaan atau swasta dalam sektor komersial seperti perladangan, perlombongan dan pembinaan di Sarawak, perlu memainkan peranan dalam memastikan semua pekerja asing melakukan pemeriksaan perubatan termasuk saringan malaria seperti ditetapkan kerajaan.
“Pihak majikan juga bertanggungjawab membekalkan kelambu kepada pekerja mereka untuk melindungi daripada gigitan nyamuk.
“Bagi pekerja yang mengalami gejala malaria, mereka perlu menjalani pemeriksaan di klinik kesihatan berdekatan,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan Hari Malaria Sedunia Peringkat Negeri Sarawak di Dataran Bandar Kapit, dekat sini, hari ini.
Aaron yang juga Ahli Parlimen Kanowit, berkata kes malaria manusia jangkitan import di Sarawak juga dikesan dalam kalangan rakyat negeri ini yang dijangkiti semasa bekerja di luar negara dan membawa parasit malaria tanpa disedari ketika pulang ke Sarawak.
“Risikonya adalah parasit malaria itu sangat berpotensi menyebarkan jangkitan kepada rakyat tempatan.
“Jadi kita semua tidak boleh berasa selesa atau mengambil sikap sambil lewa,” katanya.
Dari aspek data pula, beliau berkata, jumlah kes malaria tertinggi pernah dicatatkan di Sarawak adalah pada 1999 dengan 3,155 kes dan merekodkan penurunan pada 2010 dengan 2,802 kes.
“Namun sejak 2016 Sarawak berjaya mencapai sasaran sifar kes malaria manusia jangkitan tempatan (indigenous) dan mengekalkan pencapaian itu sehingga kini,” katanya.
Menurutnya, kejayaan status sifar itu adalah hasil usaha Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak melaksanakan program kawalan dan eliminasi malaria dengan berkesan. – BERNAMA