fbpx

Malaysia juara Piala Hoki Dalam Dewan Asia

SKUAD hoki lelaki negara mencipta sejarah baharu apabila mengecewakan Iran untuk muncul juara Piala Hoki Dalam Dewan Asia 2022 di Bangkok, Thailand.

Iran tewas 3-2 menerusi penalti shoot-out setelah terikat 4-4 dalam tempoh 60 minit final yang berlangsung di Stadium Tertutup Huamark hari ini.

Skuad kendalian Muhammad Amin Rahim akhirnya meleburkan dominasi Iran yang terdahulu muncul juara lapan edisi berturut-turut sejak 2008.

Lebih manis, ia juga adalah kemenangan pertama skuad kebangsaan ke atas Iran dalam enam pertembungan terakhir dalam saingan hoki dalam dewan.

Empat gol Malaysia dalam aksi itu dijaringkan dua oleh Ashran Hamsani dan masing-masing satu daripada Shello Silverius serta Norhafizie Jamil Azomi.

Gol-gol Iran pula dihasilkan oleh Mohsen Bohlouli, Amirmahdi Mirzakhani, Mohammad Karimi dan Hamid Nooranian.

Ketika penentuan penalti shoot-out, penjaga gol, Khairul Afendy Kamaruzaman berjaya menafikan percubaan Mahdi Shahrokhi sekali gus menjadi faktor utama kejayaan skuad negara memenangi perlawanan itu.

Skuad wanita meraih tempat ketiga selepas menewaskan Kazakhstan 2-0 Piala Hoki Dalam Dewan Asia 2022 hari ini.

Kejayaan manis itu dilengkapkan dengan pencapaian skuad wanita meraih tempat ketiga selepas menewaskan Kazakhstan 2-0 menerusi jaringan Iren Hussin dan Nur Aisyah Yaacob.

Ia sekali gus memperbaiki pencapaian terdahulu yang menyaksikan skuad wanita menduduki tempat keempat sewaktu edisi 2019 di Chonburi, Thailand.

Related Articles

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles