fbpx

Keadaan mangsa banjir di Pakistan makin getir, penyakit bawaan air merebak dengan cepat

ISLAMABAD – Keadaan mangsa banjir di Pakistan makin parah apabila kes wabak penyakit bawaan air dilaporkan mencatat rekod tertinggi.

Pegawai kesihatan Pakistan hari ini melaporkan cirit-birit, penyakit kulit dan jangkitan mata merebak di kem bantuan yang ditubuhkan oleh kerajaan di seluruh negara.

Lebih 90,000 kes cirit-birit dilaporkan dari salah satu wilayah yang paling teruk dilanda, Sindh, dalam tempoh 24 jam lalu, menurut laporan yang dikeluarkan oleh pegawai kesihatan.

Perkembangan terbaharu itu berlaku sehari selepas Pakistan dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menimbulkan kebimbangan terhadap penularan penyakit bawaan air dalam kalangan mangsa banjir.

Pakistan menyalahkan perubahan iklim kerana hujan monsun awal dan lebat yang luar biasa, yang sejak Jun telah menyebabkan banjir kilat yang telah membunuh 1,191 orang dan menjejaskan 33 juta orang.

Kira-kira sejuta rumah juga telah rosak atau musnah.

Air banjir terus surut di kebanyakan kawasan negara itu, tetapi banyak daerah di selatan wilayah Sindh kekal di bawah air.

Hampir setengah juta pelarian banjir tinggal di kem-kem bantuan.

Di wilayah Sindh, beribu-ribu kem perubatan telah didirikan di kawasan yang dilanda banjir untuk merawat mangsa, kata menteri kesihatan wilayah, Dr Azra Fazal Pechuho.

Unit perubatan mudah alih juga telah digunakan.

WHO berkata, ia meningkatkan pengawasan untuk cirit-birit akut, taun dan penyakit berjangkit lain dan menyediakan bekalan perubatan kepada kemudahan kesihatan.

Doktor berkata, mereka pada mulanya melihat kebanyakan pesakit trauma akibat banjir, tetapi kini merawat beribu-ribu orang yang mengalami cirit-birit, jangkitan kulit dan penyakit bawaan air yang lain.

Ramai wanita hamil yang tinggal di kawasan yang dilanda banjir juga terdedah kepada risiko.

Menurut Dana Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), 6.4 juta mangsa banjir di Pakistan memerlukan bantuan kemanusiaan.

Kira-kira 650,000 wanita hamil di kawasan terjejas banjir, termasuk 73,000 dijangka bersalin pada bulan depan, memerlukan perkhidmatan kesihatan ibu.

Menurut anggaran awal kerajaan, bencana itu menyebabkan kerosakan AS$10 bilion (RM44.81 bilion). – AP

Related Articles

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles