JOHOR BAHRU – Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor, Ling Tian Soon mengakui kenderaan rasmi dinaikinya memotong barisan dalam kejadian pada Isnin lalu.
Justeru, beliau memohon maaf atas kesilapan yang dilakukannya itu.
Tian Soon berkata, ketika kejadian dia menaiki kenderaan itu di bahagian penumpang, manakala kereta dipandu oleh pemandunya.
Ketika itu, katanya, pemandunya mahu mengejar masa dan memasuki lorong kecemasan bagi membelok di simpang berhampiran.
“Ketika kejadian, saya dalam perjalanan dari Yong Peng ke Batu Pahat. Dia (pemandu) terlewat dan mahu kejar masa.
“Dia keluar awal untuk membelok di simpang,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, tindakan sebuah kereta milik EXCO kerajaan negeri yang menggunakan laluan kecemasan ketika keadaan jalan sesak dipercayai di Tongkang Pechah di sini, pada Rabu lalu mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan pengguna jalan raya.
Seorang pengguna jalan raya sempat merakamkan kejadian itu sebelum video berdurasi 24 saat berkenaan tular di media sosial.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, mengesahkan kenderaan yang memotong barisan di Tongkang Pechah adalah kenderaan milik Setiausaha Kerajaan Negeri Johor yang dikhaskan penggunaannya kepada EXCO Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor.
“Siasatan dijalankan mendapati kesalahan berlaku jam 9.45 pagi Isnin lalu di Jalan Tongkang Pechah Batu Pahat.
“Hasil semakan mendapati, kenderaan itu milik Setiausaha Kerajaan Negeri Johor yang dikhaskan penggunaan bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yong Peng, Ling Tian Soon.
“Pemandu kenderaan dipanggil untuk siasatan jam 3.30 petang tadi dan dikenakan saman mengikut Rule 6(1) LN 166/59,” katanya.