LUCKNOW – Disebabkan kesilapan ejaan, seorang guru di India sanggup memukul pelajarnya berusia 15 tahun sehingga mati.
Kejadian itu mencetuskan protes dalam kalangan penduduk kerana guru berkenaan memukul hingga mati seorang pelajar dari kasta rendah.
Mangsa, Nikhil Dohre dipukul menggunakan rotan dan ditendang sehingga pengsan oleh gurunya awal bulan ini kerana tersilap mengeja perkataan ‘sosial’ dalam peperiksaan, berdasarkan laporan polis difailkan bapanya.
Pelajar itu mati kelmarin akibat kecederaan yang dialami di sebuah hospital di negeri Uttar Pradesh di utara India manakala guru yang menjadi suspek sudah melarikan diri.
“Dia kini menjadi pelarian tetapi kami akan menahannya secepat mungkin,” kata pegawai polis, Mahendra Pratap Singh, kepada AFP.
Dohre adalah anggota masyarakat Dalit, yang dianggap antara kasta paling rendah di bawah sistem kasta di India, yang penuh dengan penghinaan dan diskriminasi sejak berkurun lamanya.
Ratusan penunjuk perasaan turun ke jalanan semalam selepas berita kematian Dohre tersebar di daerah Auraiya, lokasi di mana serangan berlaku.
Mereka menuntut guru berkenaan ditahan sebelum mayat Dohre dibakar dan sebuah kenderaan polis turut dibakar. – AFP