fbpx

Ejen kosmetik hampir diseludup ke Laos

KUALA LUMPUR – Ejen jualan produk kosmetik, Rosnazirah Mohd Naim diselamatkan ketika cuba diseludup ke Laos.

Rosnazirah yang diculik sekumpulan lelaki dari kediamannya di Tumpat, Kelantan pada 13 September lalu, dapat dikesan berdasarkan maklumat yang diperoleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum maklumat itu disalurkan kepada Polis Thailand.

Berikutan itu, polis negara itu membuat sekatan jalan raya di kawasan sempadan Thailand-Laos dan berjaya menyelamatkan mangsa.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, mangsa kini selamat di Kuala Lumpur dan urusan membawa pulang mangsa ke negara ini juga tanpa melibatkan pembayaran wang tebusan.

“Mangsa kini berada dalam keadaan selamat di Kuala Lumpur. Setakat ini, mangsa dibawa pulang ke Malaysia tanpa melibatkan apa-apa bayaran.

“Segala keterangan dan maklumat lanjut mengenai kes ini lebih sesuai dikeluarkan oleh pihak Bukit Aman. Kenyataan daripada Ketua Polis Negara sudah jelas apabila beliau memaklumkan mangsa dapat dikesan melalui kerjasama erat Polis Diraja Malaysia dan Polis Diraja Thailand,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, menurut Muhamad Zaki, polis akan menjalankan tangkapan lain yang terlibat dalam kes ini meskipun mangsa berjaya diselamatkan.

Katanya, sindiket dadah yang dipercayai terlibat dalam kes itu akan disiasat secara berterusan.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, dalam kenyataan memaklumkan Rosnazirah, atau Azi, 36, berjaya diselamatkan Polis Diraja Thailand dan dihantar pulang ke tanah air.

Katanya, lokasi kedudukan mangsa berjaya dikesan hasil bantuan dan kerjasama erat antara Polis Thailand dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Related Articles

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles