fbpx

13 lagi rakyat Malaysia mangsa penipuan kerja di Kemboja selamat pulang

KUALA LUMPUR – Seramai 13 rakyat Malaysia mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja selamat pulang ke tanah air semalam.

Kesemua mereka pulang menerusi penerbangan Air Asia AK535 sekali gus menjadikan seramai 261 mangsa berjaya diselamatkan setakat ini.

Kementerian Luar Negeri (KLN) dalam kenyataan hari ini, memaklumkan setakat ini seramai 171 orang sudah dibawa pulang ke Malaysia manakala 90 orang sedang menunggu proses penghantaran pulang

“Selaras dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 21 September lalu, satu Jawatankuasa Khas yang diketuai oleh KLN ditubuhkan bagi menangani isu sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di luar negara secara lebih bersepadu dan menyeluruh.

“Mesyuarat pertama Jawatankuasa Khas itu dipengerusikan oleh Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah secara dalam talian pada 27 September lalu.

“Jawatankuasa itu dianggotai oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM), Jabatan Peguam Negara (AGC), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM),” kata kenyataan itu.

Ia turut membabitkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOM); Kementerian Sumber Manusia (KSM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

“Antara cadangan dan tindakan yang sudah dan akan diambil hasil Mesyuarat Jawatankuasa Khas adalah KLN sudah mengadakan pertemuan dengan Ketua Perwakilan negara yang terbabit pada 30 September lalu.

“Pertemuan ini bertujuan memaklumkan pendirian Malaysia yang prihatin dan memandang serius isu ini.

“Di samping itu pertemuan ini adalah usaha berterusan kerajaan untuk mendapatkan kerjasama negara yang terbabit dalam menggiatkan usaha mengesan dan menyelamatkan rakyat Malaysia yang menjadi mangsa,” katanya.

Selain itu katanya, ketua perwakilan asing yang berkenaan menyatakan komitmen kerajaan masing-masing untuk memberikan kerjasama erat dalam menangani isu ini.

Pada masa sama, katanya ketua Perwakilan Malaysia di Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand sudah diminta untuk terus berusaha menyelesaikan isu itu secara cepat dan tuntas.

Related Articles

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles