KUALA LUMPUR – Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) sepanjang 20.1 kilometer (km) akan dibuka dalam masa terdekat.
Pembukaan lebuh raya berkenaan dijangka dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas sekitar Taman Tun Dr Ismail (TTDI) menuju ke Puncak Alam.
Kesesakan di Persiaran Mokhtar Dahari dapat dikurangkan sehingga 39 peratus, manakala Jalan Sungai Buloh sebanyak 33 peratus dan Persiaran Surian sebanyak 43 peratus.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Syarikat Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas), Datuk Mohammad Azlan Abdullah, berkata Lebuhraya Bertingkat DASH sudah siap sepenuhnya.
“Tiga lebuh raya utama dapat dihubungkan melalui Lebuhraya Bertingkat DASH.
Lebuh raya itu adalah Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE); Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT).
“Lebuhraya DASH juga menghubungkan 13 persimpangan keluar masuk dari TTDI ke Puncak Alam. Perasmian laluan ini akan dilakukan di Plaza Tol Denai Alam,” katanya hari ini.
Penghadang bunyi kepungan penuh dipasang sepanjang 260 meter bagi mengelakkan gangguan bunyi daripada kenderaan kepada penduduk di sekeliling.
Menerusi lebuh raya ini juga, perjalanan dari Puncak Perdana ke Penchala dapat dikurangkan daripada 90 minit menjadi 30 minit sahaja.
Sebagai langkah keselamatan juga, 37 kamera litar tertutup (CCTV), 18 telefon kecemasan, 30 sistem pengesanan kenderaan dan kemalangan (VIDS) dan 10 papan tanda mesej pelbagai (VMS) sudah dipasang.
Peralatan itu membolehkan pengguna yang memberhentikan kenderaan untuk bergambar di laluan itu, dapat diarahkan beredar segera bagi mengelakkan kemalangan.
Lebuh raya itu menyasar 50,000 kenderaan pengguna sehari dan memberikan manfaat kepada 12,000 penduduk sekitarnya.
Pembinaan lebuh raya itu dimulakan pada Ogos 2016, dan siap sepenuhnya pada 30 September lalu, membabitkan kos RM4.2 bilion.