fbpx

21 lagi rakyat Malaysia mangsa sindiket tipu kerja dibawa pulang

SEPANG – Seramai 21 rakyat Malaysia mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan dan terperangkap di Kemboja dan Laos yang diselamatkan oleh pihak berkuasa, dibawa pulang ke tanah air malam tadi.

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, berkata mereka selamat tiba dengan tiga penerbangan berasingan iaitu lapan mangsa tiba dari Kemboja petang tadi, tujuh dari Laos malam ini dan enam lagi mangsa dari Kemboja tiba tengah malam tadi.

“Jumlah yang sudah diselamatkan ialah 273 orang di Kemboja, Laos, Thailand dan Myanmmar sejak April hingga sekarang, daripada 401 kes yang dilaporkan kepada kita.

“Daripada 273 orang itu, sebahagian daripadanya masih ditahan di depoh tahanan negara berkenaan selepas diselamatkan daripada sindiket penipuan di sana,” katanya dalam sidang media bersama lapan mangsa yang tiba dari Kemboja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), hari ini.

Saifuddin berkata, pihak berkuasa Malaysia dengan kerjasama pihak berkuasa di negara berkenaan giat mengesan 128 lagi mangsa penipuan sindiket itu.

“Kita melipatgandakan usaha dengan kerjasama pihak berkuasa negara berkaitan untuk mengesan yang bakinya, (manakala) mereka yang dapat dikesan dan setelah (selesai) melalui proses perundangan di negara-negara itu akan kita bawa balik dengan secepat mungkin.

“Sebagai negara yang menghormati undang-undang, kita harus menerima dan membenarkan negara terbabit melakukan proses diperlukan oleh mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Saifuddin menasihatkan mangsa sindiket penipuan yang didera dan sebagainya untuk membuat laporan polis di negara berkenaan bagi memudahkan pihak berkuasa di negara itu melakukan siasatan lanjut.

“Saya juga nasihatkan supaya kita lebih berhati-hati sekiranya buat apa-apa kenyataan berkaitan isu begini, sebaiknya jika ada maklumat sampaikan kepada polis kerana itu lebih berhasil.

“Kita bimbang kalau kenyataan itu dibuat ia boleh ganggu siasatan pihak berkuasa dan kalau tersilap bahasa yang digunakan boleh ganggu hubungan diplomatik antara Malaysia dengan negara berkaitan,” katanya. – BERNAMA

Related Articles

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles