JAKARTA – Misteri kehilangan seorang penoreh getah wanita berusia 54 tahun dari sebuah perkampungan terpencil di wilayah Jambi, Pulau Sumatera, Indonesia, terjawab apabila mayatnya ditemui dalam perut ular sawa sepanjang tujuh meter, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Betara Jambi, S Harefa, berkata mangsa yang dikenali sebagai Jahrah dari Kampung Terjun Gajah, wilayah Tanjung Jabung Barat.
Beliau berkata, mangsa yang ditemui oleh suami dan ahli keluarganya di dalam perut ular sawa pada Isnin lalu, pergi ke kebun milik keluarganya di kawasan berhampiran pada Ahad lalu sebelum didapati hilang.
“Jahrah selalunya akan pulang ke rumah sebelum waktu Maghrib namun pada hari kejadian beliau tidak dapat dikesan.
“Suami Jahrah kemudiannya mencari di kawasan kebun sepanjang malam namun hanya menemui selipar, pisau penoreh getah, tudung dan jaket mangsa,” katanya kepada media.
Harefa berkata, suami dan ahli keluarga mangsa kemudiannya menemui ular sawa dalam keadaan bahagian perutnya kembung sehari selepas kehilangannya.
Katanya, mereka tiada pilihan selain membunuh ular sawa itu lalu menemui mayat mangsa setelah membelah bahagian perut reptilia terbabit.
“Mayat mangsa ditemui dalam keadaan masih sempurna walaupun ditelan keseluruhan tubuhnya,” katanya.
Sebelum ini pada 2017, mayat seorang petani berusia 25 tahun turut ditemui di dalam perut ular sawa di Salubiro, wilayah Sulawesi Barat. – BERNAMA