TIGA pengadil wanita bakal melakar sejarah setelah dipilih untuk mengadili perlawanan Piala Dunia Qatar 2022 bulan depan.
Yoshimi Yamashita, Salima Mukansanga dan Stephanie Frappart antara 36 pengadil yang dipilih bertugas pada kejohanan itu yang bermula pada 20 November ini dan berakhir pada 18 Disember.
Mereka turut disertai Neuza Back dari Brazil, Karen Diaz Medina (Mexico) dan Kathryn Nesbitt (Amerika Syarikat) yang hadir ke Piala Dunia sebagai tiga daripada 69 penolong pengadil.
Pengadil Jepun, Yoshimi Yamashita hadir pada Piala Dunia kedua berturut-turut selepas beliau bertugas pada Piala Dunia Wanita 2019 di Perancis.
Dia turut mengadili perlawanan antara Amerika Syarikat (AS) dan Sweden pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang diadakan pada 2021.
Namun bertugas di Qatar bukanlah satu-satunya masa beliau mencatat sejarah tahun ini.
Yoshimi turut mengadili aksi kemenangan 2-1 Melbourne City ke atas Jeonnam Dragons dalam Liga Juara-Juara AFC dan kemenangan 2-0 FC Tokyo ke atas Kyoto Sanga dalam Liga J1 – muncul sebagai pengadil wanita pertama melakukannya.
Pengadil berusia 36 tahun itu tidak sabar berdepan peluang menjadi sebahagian daripada sejarah sekalipun menyedari tekanan yang bakal dihadapinya.
“Langsung tidak ada seorang pengadil wanita di Timur Tengah, jadi saya mahu melihat ia berubah dengan Piala Dunia Qatar sebagai pemangkin,” katanya.
“Hakikat wanita bertugas buat kali pertama pada Piala Dunia lelaki satu peringatan kepada orang lain potensi wanita sentiasa berkembang dan itulah yang saya rasakan.”
Pengadil Rwanda, Salima Mukansanga sudah bertugas bersama FIFA sejak 2012.
Namun sebagai seorang gadis, impiannya adalah untuk bermain bola keranjang secara profesional.
“Saya sukakan bola keranjang dan mahu menceburinya secara serius,” katanya.
“Namun kemudahan untuk bermain bola keranjang amat sukar untuk saya, itulah sebabnya saya menjadi pengadil, sesuatu yang saya tidak pernah kesalkan.”
Keputusan itu juga menyaksikannya bertugas pada Piala Dunia Wanita 2019, Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan kini Qatar 2022.
Salima bukanlah asing dengan bola sepak peringkat tertinggi apabila beliau turut mengadili aksi Piala Negara Afrika lelaki awal tahun ini.
Apabila dinamakan sebagai pegawai perlawanan pada Piala Dunia 2019, beliau berkata: “Bertugas pada Piala Dunia menjadi impian setiap pengadil,” dan bagi warga Rwanda itu, impiannya berterusan bulan depan.
Pengadil Perancis, Stephanie Frappart ternyata salah seorang daripada nama terkenal disenaraikan bagi Piala Dunia akan datang.
Pegawai berusia 38 tahun itu mempunyai karier yang dipenuhi sebagai yang pertama melakukannya termasuk di Qatar.
Stephanie bermula dengan final pertamanya pada Piala Dunia 2019 di Perancis dan kemudian mengadili final Piala Super UEFA pada tahun sama.
Pada 2020, beliau terus melonjak dalam dunia pengadilan, melakar namanya dalam buku sejarah sebagai pengadil wanita pertama mengadili aksi Liga Juara-Juara lelaki.
Sebelum diumumkan sebagai sebahagian perancangan bagi Qatar 2022, beliau turut mengadili final Piala Perancis 2022.
Keupayaan Stephanie mengendalikan aksi di tengah padang ternyata mendapat pengiktirafan apabila beliau memenangi anugerah Pengadil Terbaik Wanita Dunia IFFHS tiga tahun berturut-turut sejak 2019.
Kehadiran pegawai wanita pada Piala Dunia lelaki bulan depan adalah satu ‘mesej kuat’, menurut warga Perancis itu.
“Ia satu petanda kukuh daripada FIFA dan pihak berkuasa untuk mempunyai pengadil wanita di negara itu,” katanya sambil menambah beliau berharap keputusan itu bakal “menyaksikan perubahan.”