fbpx

Sampai hati pukul orang tua dengan batang golf

AMPANG JAYA: Seorang lelaki tergamak memukul pemandu berusia 60 tahun dengan batang golf, parang dan besi pengunci kereta dalam satu kejadian di Kampung Pandan Dalam, di sini.

Kejadian itu dikatakan berpunca daripada selisih faham ketika hendak masuk ke simpang.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menerima panggilan Mers 999 daripada orang awam mengenai pergaduhan itu pada 2.24 petang Khamis lalu.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati pergaduhan membabitkan dua lelaki tempatan, iaitu mangsa berusia 60 tahun dengan suspek berusia 39 tahun.

“Kejadian ketika mangsa dan isteri dalam perjalanan pulang ke rumah dengan menaiki kereta, dan selisih faham dengan suspek yang menunggang motosikal.

“Berlaku pergaduhan di antara mangsa dan suspek membabitkan penggunaan senjata batang golf, parang dan sebatang besi pengunci kereta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa patah tangan kanan, luka kedua-dua tangan serta pendarahan dalam otak, manakala suspek cedera di kepala.

“Mangsa dan suspek mendapat rawatan di Hospital Ampang. Punca kejadian dipercayai akibat salah faham di atas jalan raya di antara mangsa dan suspek,” katanya.

Susulan itu, katanya, suspek yang berniaga di kawasan Ampang ditahan pada 6.20 petang kelmarin dan polis merampas pakaian serta sebatang besi yang digunakan ketika kejadian.

“Ujian saringan air kencing terhadap suspek mendapati positif dadah syabu dan benzo. Suspek mempunyai empat rekod jenayah dadah dan ditahan reman enam hari sehingga 10 November ini,” katanya.

Mohamad Farouk berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, iaitu mendatangkan kecederaan parah kepada mangsa serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Related Articles

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles