JAKARTA – Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) memaklumkan beliau akan kembali ke kampung halamannya di Solo dan menjadi rakyat biasa selepas berundur daripada jawatan presiden pada 2024.
Memetik laporan CNN Indonesia, Jokowi akan pulang ke kampung dan mahu aktif dalam sektor alam sekitar.
“Saya akan aktif dalam bidang alam sekitar,” katanya kepada The Economist.
Menurut Jokowi, perubahan pola pemikiran dan cara kerja dapat menjadikan Indonesia sebagai sebuah negara maju.
Jokowi berkata, beliau mahu menjadi sebahagian daripada Indonesia baharu yang lebih hijau.
Ketika ditanya mengenai legasi meritokrasi sepanjang memegang jawatan presiden, beliau berharap perubahan minda dan perubahan cara bekerja dapat diteruskan sepertimana sepanjang memimpin Indonesia selama dua penggal.
“Kita harap akan ada perubahan minda, ada perubahan cara kerja baharu, supaya negara ini benar-benar mampu melonjak untuk maju ke hadapan,” kata Jokowi.
Selain itu, sejumlah kekuatan yang dimiliki Indonesia, seperti sumber daya alam, sumber daya manusia dan pasar yang besar juga dapat merealisasikan harapan tersebut.
“Kerana dengan perubahan minda, dengan perubahan cara kerja baharu, saya percaya dengan kekuatan sumber asli, kekuatan sumber manusia, kuasa pasaran yang besar, kita akan dapat bergelar negara maju,” katanya.