PELUMBA negara, Hakim Danish Ramli melakar sejarah apabila merangkul gelaran Asia Talent Cup (ATC) buat julung kalinya pada perlumbaan penutup di Litar Antarabangsa Mandalika di Indonesia hari ini.
Biarpun hanya menamatkan perlumbaan di tempat kedua dalam perlumbaan kedua, ia sudah memadai buat pelumba berusia 15 tahun itu untuk mengesahkan kejuaraannya musim ini.
Danish yang memulakan saingan di petak ketiga berusaha keras meskipun diasak hebat terutama pencabar terdekatnya dari Jepun, Shinya Ezawa.
Pelumba Indonesia, Veda Ega Pratama muncul juara pada pusingan terakhir itu.
Danish diangkat juara ATC 2022 selepas mengumpul 187 mata manakala Ezawa mengumpul 177 mata dan diikuti Pratama di kedudukan ketiga dengan 141 mata.
Pelumba kelahiran Terengganu itu layak diangkat juara ATC 2022 selepas tujuh kali menaiki podium dengan merangkul empat kemenangan sepanjang enam pusingan perlumbaan musim ini.
Lebih manis ia adalah kejayaan pertama anak Malaysia merangkul gelaran ATC sejak perlumbaan tersebut pertandingan pada 2014.