LAWAS: Seorang maut, manakala dua lagi cedera selepas Paip Gas Sabah Sarawak (SSGP) Petronas meletup, di Long Ugui, Lawas, di sini hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian kira-kira jam 2.49 petang sebelum mengerahkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas ke lokasi.
Katanya, setakat ini, mangsa yang meninggal dunia hanya dikenal pasti sebagai Hadi Wiyono, manakala mangsa yang cedera dikenali sebagai Hendrick dan Gabriel Meripa.
“Kejadian membabitkan tiga mangsa dengan seorang disahkan meninggal dunia semasa berada dalam sebuah jentera pengorek, manakala dua mangsa cedera melecur di beberapa anggota badan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, keluasan kebakaran dan letupan dianggarkan pada jarak radius 400 meter membabitkan dua jentera berat serta sebuah lori.
Katanya, pasukan bomba menghadapi kesukaran ke lokasi kerana jalan ke lokasi tidak dapat dilalui jentera.
Sehubungan itu katanya, perjalanan ke lokasi hanya menggunakan pikap untuk membawa peralatan operasi.
Katanya, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut kebakaran itu.