fbpx

Lelaki ditikam sebab bertengkar pasal politik

BANGKOK – Pertikaman lidah berkaitan politik membuatkan seorang lelaki ditikam rakan-rakannya di Soi Prapa 2, mukim Marb Ta Phut dalam wilayah Rayong di sini.

Pertengkaran itu mengenai politik Thailand termasuk isu tempoh perkhidmatan Perdana Menteri, Prayut Chan-o-Cha yang mengundang rasa marah suspek kerana mangsa tidak menyokong Prayut.

Pegawai dari Balai Polis Marb Ta Phut menerima maklumat kejadian itu pada pukul 3.30 petang (waktu tempatan) Rabu lalu.

Mangsa,Kritsada Manowong, 52, ditemui dalam keadaan berlumuran darah di bilik depan rumahnya.

Anggota polis yang tiba di lokasi kejadian memberikan pertolongan cemas sebelum menghantarnya ke hospital berdekatan.

Mangsa mengalami lima kesan tikaman di badan, dua luka di lengan dan satu luka di kepala.

Seorang jiran yang menyaksikan kejadian memaklumkan kepada polis bahawa Kritsada dan seorang rakannya sedang minum arak di hadapan rumah kedainya.

“Mereka mula bercakap tentang politik Thailand. Lelaki itu menyokong Prayut, tetapi Kritsada menentang pendapat rakannya.

“Kritsada meminta rakannya pulang ke rumah, yang membuatkan dia marah. Mereka kemudian bergaduh sesama sendiri, tetapi Kritsada terlalu kuat lalu rakannya meninggalkan tempat kejadian.

“Lelaki itu kembali bersama tiga rakan lain dan mereka membawa pisau. Mereka memanggilnya keluar dan menyerang Kritsada sehingga dia jatuh ke lantai,” kata jiran mangsa.

Polis memalumkan bahawa Kritsada kehilangan banyak darah dan dia masih dirawat. Pihak polis akan menyoalnya apabila dia pulih.

Sementara itu, polis sedang memburu empat pesalah terbabit. – Agensi

Related Articles

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles