KOREA Selatan berjaya mencuri satu mata apabila mengikat juara dunia dua kali, Uruguay 0-0 di Piala Dunia Qatar 2022 sebentar tadi.
Turun sebagai pasukan bukan pilihan, Korea Selatan mempamerkan aksi yang menarik malah beberapa kali mencemaskan kubu Uruguay.
Barisan bintang yang dimiliki Uruguay seperti Luis Suarez, Darwin Nunez, Edinson Cavani dan Diego Godin tidak melemahkan semangat pemain Korea Selatan.
Pada minit ke-16, pemain pertahanan, Kim Jin Su berpeluang untuk meletakkan Korea Selatan dihadapan namun, sepakannya melepasi palang gol Uruguay yang dikawal, Sergio Rochet selain Son Heung Min turut terlepas beberapa peluang.
Penyerang Uruguay, Nunez turut terlepas peluang pada minit ke-23 selepas gagat memanfatkan bola hantaran lintang rakan sepasukan, Maria Gimenez dari sebelah kanan pintu gol.
Peluang terbaik untuk Uruguay mendahului hadir pada minit ke-43 menerusi pertahanan tengah tinggi lampai, Godin namun, tandukan pemain Atletico Madrid sekadar menggegarkan tiang gol.
Bagaimanapun, ketumpulan jentera serangan memaksa kedua-dua pasukan berkongsi mata selepas terikat 0-0 dan keputusan itu sangat positif buat Korea Selatan kerana berjaya mengikat juara dunia dua kali di pentas Piala Dunia.
Selepas ini, saingan Kumpulan H akan menyaksikan Uruguay akan menentang Portugal manakala, Korea Selatan akan berdepan Ghana.