fbpx

Piala Dunia: Richarlison wira baharu Brazil, Ronaldo catat sejarah

PENYERANG Tottenham Hotspur, Richarlison muncul wira Brazil apabila mencetak dua gol menewaskan Serbia 2-0 pada aksi pembukaan Kumpulan G di Stadium Lusail, awal pagi tadi.

Jaringan akrobatik pada minit ke-73 menyempurnakan aksi gemilang Richarlison hasil hantaran Vinicius untuk memastikan kemenangan buat juara dunia lima kali itu.

Sebelum itu, pada minit ke-62 hantaran Neymar menemui Vinicius Junior, namun percubaannya ditampan Vanja Milinkovic-Savic sebelum sentuhan Richarlison menghasilkan gol Piala Dunia pertamanya.

“Impian kanak-kanak saya kini menjadi kenyataan. Kami sedar ia tidak mudah untuk mengatasi mereka. Saya sudah biasa bermain menentang pasukan yang bertahan seperti ini di England.

“Saya hanya mahu memanfaatkan setiap peluang yang dimiliki untuk membantu pasukan dan saya berjaya melakukannya,” kata Richarlison yang membuat penampilan pertamanya di Piala Dunia.

Sementara itu, Brazil terpaksa membayar dengan harga tinggi di sebalik kemenangan dalam perlawanan pertama itu selepas Neymar dilaporkan mengalami kecederaan buku lali.

Penyerang Paris Saint-Germain (PSG) itu dilihat meletakkan ais pada buku lalinya dan menangis di bangku simpanan selepas digantikan pada minit ke-79.

Dia juga dilihat berjalan ke bilik persalinan dengan tempang dan pergelangan kaki yang bengkak.

Ronaldo mencatat sejarah sebagai pemain pertama menjaringkan gol dalam lima edisi Piala Dunia.

Sementara itu, dalam satu perlawanan Kumpulan H, kapten Portugal, Cristiano Ronaldo mencatat sejarah sebagai pemain pertama menjaringkan gol dalam lima edisi Piala Dunia ketika kemenangan 3-2 ke atas Ghana.

Ronaldo menyempurnakan sepakan penalti minit di babak kedua dalam aksi di Stadium 974.

Jurulatih Portugal, Fernando Santos memuji pemainnya itu yang mungkin membuat penampilan terakhir di Piala Dunia.

“Saya percaya orang ramai akan bercakap mengenai kejayaannya, dia seorang yang fenomena, legenda dalam arena bola sepak.

“Dalam tempoh 50 tahun, kita masih bercakap mengenainya,” kata Santos.

Related Articles

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles