fbpx

4 peniaga rugi RM20 juta, ditipu beli jam tangan, beg mewah

JOHOR BAHRU – Empat ahli perniagaan kerugian hampir RM20 juta selepas ditipu seorang lelaki dalam pembelian jam tangan dan beg jenama mewah.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata keempat-empat mangsa berusia antara 31 hingga 40 tahun itu membuat empat laporan polis sejak Ogos lalu.

Berikutan itu, polis menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 32 tahun di sebuah kediaman di Bukit Jalil, Kuala Lumpur, pada jam 4.45 petang, 20 November lalu.

“Antara Ogos lalu hingga bulan ini, kita menerima aduan dan menjalankan siasatan terhadap empat laporan polis daripada mangsa yang mendakwa ditipu seorang lelaki tempatan dalam urusan pembelian jam tangan dan beg tangan edisi khas atau terhad berjenama mewah,” katanya menerusi kenyataan, semalam.

Beliau berkata, modus operandi digunakan suspek adalah dengan menawarkan jam tangan dan beg tangan edisi khas atau terhad jenama mewah itu kepada mangsa dengan harga jualan yang lebih murah berbanding harga pasaran biasa.

Katanya, mangsa akan berurusan secara bersemuka dengan suspek dan apabila persetujuan harga tawaran dicapai, mangsa dikehendaki membuat pembayaran ke akaun bank yang diarahkan suspek.

“Selepas bayaran dibuat, suspek melarikan diri bersama wang yang dibayar oleh mangsa sebelum gagal dihubungi,” katanya.

Kamarul Zaman berkata, selepas tangkapan dibuat, suspek dibawa balik ke Johor untuk siasatan kes yang dilaporkan di Johor Bahru dan Iskandar Puteri.

“Hasil siasatan juga mendapati suspek dipercayai terbabit dengan kes di Perak yang juga menggunakan modus operandi sama.

“Suspek kini dalam tahanan reman sehingga Ahad ini dan akan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak selepas siasatan di sini selesai,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Related Articles

Stay Connected

525FansLike
3,912FollowersFollow
0SubscribersSubscribe
- Advertisement -spot_img

Latest Articles